ZON 6A RANGKUL KEJUARAAN PING PONG BERPASUKAN SUKJAP USM 2025.

USM, 10 Julai 2025 – Kejohanan Ping Pong SUKJAP USM 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Dewan Ping Pong USM apabila pasukan Zon 6A berjaya muncul juara selepas aksi cemerlang menewaskan Zon 3 dalam perlawanan akhir yang cukup sengit.

Pasukan Zon 3 terpaksa berpuas hati di tempat Naib Johan, manakala tempat Ketiga bersama menjadi milik Zon 10A dan Zon 7A, setelah masing-masing menunjukkan persembahan hebat dan berdaya saing sepanjang kejohanan.
Penyelaras acara, Encik Mohd Zaini Harun, melahirkan rasa bangga terhadap sambutan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pasukan yang mengambil bahagian.
“Alhamdulillah, kejohanan kali ini berlangsung dengan sangat lancar. Sambutan luar jangka daripada peserta yang sentiasa memberi komitmen tinggi dalam setiap perlawanan. Saya percaya program sebegini bukan sahaja mengasah bakat staf USM, malah mengeratkan hubungan antara zon dan jabatan,” ujar beliau.
Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Prof. Hairul Anuar Hashim, turut memberikan pujian kepada pengurusan kejohanan dan dedikasi Sekretariat Ping Pong SUKJAP USM.
“Tahniah kepada seluruh sekretariat yang bertungkus-lumus memastikan kejohanan ini berjalan dengan teratur dan berkualiti. Ini membuktikan kemampuan warga USM bukan sahaja dalam aspek akademik dan pengurusan, malah turut menyerlah dalam penganjuran acara sukan dalaman bertaraf tinggi,” katanya.
SUKJAP USM 2025 kali ini juga berperanan penting sebagai medan persiapan awal bagi staf USM, di mana peserta-peserta yang berjaya menonjol dalam kejohanan ini akan dijadikan rujukan utama dalam pemilihan atlet mewakili universiti ke SUKANUN 2025 nanti. Penyertaan cemerlang dalam SUKJAP dijadikan salah satu penunjuk prestasi (KPI) penting dalam membentuk kontinjen yang mantap dan kompetitif untuk menghadapi kejohanan peringkat kebangsaan tersebut.
Tahniah diucapkan kepada semua pasukan yang bertanding dan syabas kepada Zon 6A atas kejuaraan yang membanggakan!