BOLA JARING SUKJAP USM 2025 JUARA MILIK ZON 4

USM, PULAU PINANG, 17 Jun 2025 — Kejohanan Bola Jaring SUKJAP USM 2025 menyaksikan kehebatan pasukan Zon 4 apabila berjaya merangkul gelaran juara selepas menewaskan Zon 10 dalam aksi final yang berlangsung sengit di Kompleks Sukan Azman Hashim USM, Minden.
Pertemuan akhir itu berlangsung penuh dramatik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas mata sejak wisel pertama. Namun, ketenangan dan ketajaman penjaring pasukan Zon 4 menjadi pemisah apabila mereka memastikan kemenangan bergaya dengan keputusan 7 berbalas 4 untuk muncul juara edisi kali ini.

Ketua pasukan Zon 4, Pn Nursyahida Ahmad Fauzi, melahirkan rasa bangga atas pencapaian pasukannya yang berjaya mengekalkan disiplin dan semangat berpasukan sepanjang kejohanan.
“Kami bermain dengan hati, bukan sekadar untuk menang tapi untuk Zon 4. Kemenangan ini hasil kerja keras semua pemain, pegawai pasukan dan sokongan padu daripada warga Zon 4,” katanya.
Zon 10, yang turut beraksi cemerlang sepanjang kejohanan, terpaksa berpuas hati di tempat naib juara selepas aksi final yang cukup sengit. Sementara itu, Zon 6 dan Zon 8 masing-masing berkongsi kedudukan tempat ketiga selepas mara sehingga ke peringkat separuh akhir.
Penyelaras acara bola jaring, Pn.Juliana Ahmad Razali, memuji mutu permainan dan disiplin tinggi yang ditampilkan oleh semua pasukan yang bertanding dalam kejohanan kali ini.
“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat, tetapi juga mengeratkan hubungan antara staf USM. Tahniah buat Zon 4 dan semua peserta yang menunjukkan semangat kesukanan yang hebat,” katanya.
Keputusan Rasmi Bola Jaring SUKJAP USM 2025:
Johan: Zon 4
Naib Johan: Zon 10
Ketiga Bersama: Zon 6 & Zon 8
Kejohanan ini terus membuktikan bahawa bola jaring merupakan salah satu acara yang paling mendapat sambutan dalam SUKJAP USM, menjadi medan terbaik memupuk semangat berpasukan dan kesepaduan warga kampus.

Tahniah Zon 4 — Juara Bola Jaring SUKJAP USM 2025!