Skip to main content

ZON 3 MENGGANAS, ZON 6 PAMER SEMANGAT KEMBALI BERSAING WARNAI BOLASEPAK SUKJAP USM 2026

USM, 11 Mei – Saingan bolasepak di Kompleks Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) malam tadi berlangsung penuh dramatik dan berintensiti tinggi apabila Zon 3 dan Zon 6 berjaya mencatat kemenangan bergaya dalam aksi yang mencuri perhatian ramai.

Di Padang A1, Zon 3 tampil cukup luar biasa apabila membenam cabaran Zon 4 dengan kemenangan besar 5-0. Sejak wisel permulaan ditiup, Zon 3 terus menguasai permainan menerusi corak serangan pantas dan hantaran kemas yang gagal disekat lawan.

Paling mencuri tumpuan sudah tentu Faris Humaidi yang berada di kelas tersendiri apabila meledak hatrik sensasi untuk menghidupkan suasana perlawanan. Dua lagi jaringan disumbangkan oleh Azlisufryzal dan Mohamad Azizi Azri bagi melengkapkan malam gemilang Zon 3.

Kemenangan besar tersebut bukan sahaja membuktikan kekuatan jentera serangan Zon 3, malah memperlihatkan keserasian pasukan yang semakin ampuh dalam memburu kejayaan.

Sementara itu di Padang A, Zon 6 pula mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit menewaskan Zon 7 dengan keputusan 3-1 dalam aksi yang penuh debaran.

Zon 7 terlebih dahulu mengejutkan lawan menerusi jaringan Muhammad Syamil yang memberikan kelebihan awal buat pasukannya.

Namun, kelebihan itu tidak mematahkan semangat Zon 6 yang tampil lebih agresif pada baki permainan.

Mohamad Baser berjaya menyamakan kedudukan sebelum Muhamad Azrain muncul wira pasukan apabila meledak dua gol penting untuk memastikan kemenangan mutlak berpihak kepada Zon 6.

Sorakan penyokong yang memenuhi venue turut menyemarakkan suasana pertandingan, menjadikan aksi malam tadi antara perlawanan paling menarik dalam saingan kali ini.

Dengan kemenangan tersebut, Zon 3 dan Zon 6 kini semakin yakin untuk meneruskan momentum cemerlang dalam usaha memburu kedudukan terbaik kejohanan