Skip to main content

ZON 2A RAJA LIBAS SUKJAP USM 2025

USM, 26 Jun 2025 — Kejohanan Sepaktakraw Antara Regu SUKJAP USM 2025 melabuhkan tirai dengan kejayaan manis buat Zon 2A apabila mereka dinobat sebagai Johan sekaligus dinobat Raja Libas USM 2025. Lebih membanggakan, kejayaan ini diterajui oleh barisan pemain handalan yang majoritinya merupakan pemain utama skuad USM FC.

Sejak perlawanan awal, Zon 2A tampil dominan dengan libasan padu, kawalan jaring kemas serta persefahaman mantap hasil gandingan pemain yang sudah terbiasa beraksi dalam satu pasukan. Keunggulan ini diterjemah sepenuhnya di gelanggang apabila mereka menewaskan semua lawan tanpa tewas, termasuk menumpaskan pencabar sengit Zon 7A di pentas akhir.

Naib Johan menjadi milik Zon 7A (juara edisi lalu), yang turut menunjukkan aksi berdisiplin dan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan. Tempat Ketiga pula dikongsi bersama oleh Zon 6B dan Zon 5A, selepas tewas tipis dalam aksi separuh akhir yang cukup seimbang dan menghiburkan.

Menurut Konvenor Sepaktakraw SUKJAP USM 2025, Abd Razak Mohd Noor, kejohanan kali ini membuktikan potensi tinggi warga staf USM dalam arena sepaktakraw, selain memperlihatkan bahawa kesinambungan latihan dan penyertaan dalam aktiviti sukan mampu mencipta impak positif kepada komuniti kampus.

“Kejayaan Zon 2A bukan semata-mata kerana kekuatan individu, tetapi hasil kerjasama, disiplin latihan dan semangat berpasukan yang diterapkan dalam kalangan staf. Kehadiran pemain-pemain USM FC dalam pasukan ini juga memberi kelebihan dari segi kecergasan dan persefahaman taktikal,” ujar beliau.

Tambahnya lagi, kejohanan ini bukan sahaja medan persaingan sihat, malah platform terbaik untuk mencungkil bakat baru dalam kalangan staf USM, sekaligus memperkukuh hubungan erat antara jabatan.

SUKJAP Sepaktakraw USM 2025 menyaksikan penyertaan 10 zon bertanding, menggunakan format dua regu setiap pasukan dengan sistem kiraan mata 30 bagi setiap set. Kejohanan edisi tahun ini nyata memperlihatkan peningkatan mutu permainan dan disiplin taktikal dalam kalangan pasukan, dengan beberapa regu baharu turut memberi saingan sengit kepada pasukan pilihan.

Dengan kejayaan ini, Zon 2A sekali lagi membuktikan mereka mampu menjadi pesaing baru bagi acara sepaktakraw kampus induk dan bakal menjadi sandaran dalam kejohanan antara universiti di peringkat lebih tinggi kelak.

Keputusan keseluruhan Sepaktakraw SUKJAP USM 2025

Johan - Zon 2A

Naib Johan - Zon 7A

Ketiga - Zon 6B dan Zon 5A