ZON 2 PERTAHAN KEJUARAAN, RANGKUL KEJUARAAN BOLA SEPAK SUKJAP USM 2025

Zon 2 Pertahan Kejuaraan, Rangkul Kejuaraan Bola Sepak SUKJAP USM 2025
USM, Pulau Pinang, 28 Mei 2025 — Zon 2 membuktikan status mereka sebagai kuasa bola sepak kampus induk apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Zon 1 dalam perlawanan akhir bola sepak SUKJAP USM 2025 yang berlangsung penuh dramatik di Padang A Minden USM petang tadi.
Pertembungan dua pasukan pilihan itu berlangsung sengit sejak wisel permulaan, dengan kedua-duanya saling berbalas serangan. Zon 1 yang dibarisi bekas pemain negeri Pulau Pinang seperti Azizul Ahmad Sabri, Ahmad Norafandy, Amirul Omar, Fakhrul Radzi, Zubaidi Alwee, serta penjaga gol berpengalaman Ahmad Solehin, tampil dengan aksi berdisiplin dan tersusun.
Namun, pengalaman pemain-pemain USM FC yang memperkuatkan Zon 2 nyata menjadi pemisah. Gol kemenangan Zon 2 hadir menerusi jaringan pada separuh masa kedua, hasil satu sepakan bebas menarik dari sebelah kiri terbias pemain Zon 1 sebelum masuk ke gawang.
Cubaan Zon 1 untuk bangkit di penghujung perlawanan gagal apabila benteng pertahanan Zon 2 kekal utuh sehingga wisel penamat dibunyikan. Kemenangan ini membolehkan Zon 2 mengekalkan kejuaraan yang dirangkul tahun lalu, sekaligus mencipta kejayaan sejak edisi pertama SUKJAP USM.
Perlawanan yang disaksikan ratusan penyokong warga kampus itu berlangsung dalam suasana penuh meriah dan semangat kesukanan yang tinggi.
Dengan kejayaan ini, Zon 2 sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam arena bola sepak SUKJAP USM, manakala Zon 1 wajar dipuji atas persembahan cemerlang serta pertahanan mantap sepanjang kejohanan.
Keputusan Bolasepak SUKJAP USM 2025
Johan - Zon 2
Naib Johan - Zon 1
Ketiga - Zon 3 dan Zon 4


