Skip to main content

ZON 2 DAN ZON 10 UNGGULI FUTSAL SUKJAP USM 2025.

USM, 2 Julai 2025 — Aksi sengit dan penuh dramatik mewarnai Kejohanan Futsal SUKJAP USM 2025 yang berlangsung meriah di Kompleks Sukan Azman Hashim, Universiti Sains Malaysia. Pertandingan yang menghimpunkan pasukan-pasukan staf dari pelbagai zon ini menyaksikan Zon 2 dan Zon 10 tampil bergaya sebagai juara bagi kategori lelaki dan wanita.

May be an image of 11 people, people playing American football and people playing football

Futsal Lelaki - Zon 2 Pertahan Kejuaraan kategori Lelaki, Tonggak USM FC Jadi Sandaran

Pertarungan di gelanggang lelaki dilihat berlangsung agak berat sebelah apabila Zon 2 dilihat dominasi perlawanan seawal minit awal perlawanan sehingga ke wisel penamat. Pasukan Zon 2, yang muncul juara edisi lepas, sekali lagi membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Zon 8 yang menpunyai semangat juang luar biasa dalam aksi akhir yang sarat aksi serangan balas dan taktikal hebat.

Kekuatan Zon 2 kali ini turut disandarkan kepada beberapa pemain tonggak USM FC, yang memperlihatkan kualiti permainan berkelas tinggi sepanjang kejohanan. Ketangkasan Tuan Salman, selaku penjaga gol Zon 2, menjadi benteng ampuh dalam menghadapi asakan lawan.

Ketika ditemui, Tuan Salman berkongsi;

"Kami turun bukan sekadar pertahankan kejuaraan, tetapi untuk terus mengangkat nama Zon 2. Kejayaan ini hasil kerjasama semua pemain, dibantu tenaga muda dan pengalaman pemain USM FC yang banyak menyusun permainan di gelanggang."

Tempat ketiga bersama menjadi milik Zon 5 dan Zon 6 yang turut memperagakan aksi konsisten sepanjang kejohanan.

May be an image of 5 people and people playing football

Futsal Wanita - Zon 10 Cipta Sejarah, Aksi Sengit Penalti Penentu Kejuaraan

Kategori wanita turut menyajikan aksi berkualiti apabila Zon 10, di bawah kendalian Dr Ng Siew Kit, mencipta sejarah dengan menjuarai kategori tersebut buat kali pertama. Pasukan ini mempamerkan disiplin taktikal yang terancang sekali gus menewaskan Zon 6 di pentas akhir dalam aksi penentuan penalti.

Lebih istimewa, penyertaan dan kejayaan Zon 10 kali ini juga adalah harapan menjadi pemangkin kepada agenda SUKJAP sebagai platform mengukuhkan jalinan hubungan sukan antara Pusat Tanggungjawab (PTJ) di USM. Inisiatif ini selari dengan usaha universiti untuk memastikan keseimbangan antara aktiviti sukan dan penyampaian perkhidmatan berkualiti.

Dr Ng Siew Kit melahirkan rasa bangga terhadap pasukannya:

"Kejayaan ini bukan sekadar tentang kemenangan, tidak dinafikan Zon 6 juga hebat dalam final Wanita sebentar tadi dan rezeki tuah penalti memihak pada Zon 10. Saya juga percaya persaingan sukan ini boleh menjadi jambatan yang memperkukuhkan komunikasi dan kerja berpasukan, yang akhirnya memberi impak positif kepada perkhidmatan universiti."

Zon 5 dan Zon 1 pula berkongsi tempat ketiga selepas mempamerkan daya saing tinggi sepanjang kejohanan.

SUKJAP USM AGENDA SIHAT UNIVERSITI DAN PLATFORM JALINAN UKHWAH MELALUI SUKAN

Menurut Encik Noor Azrollyzam, selaku wakil penganjur kejohanan, SUKJAP tahun ini menyaksikan peningkatan penyertaan, kualiti permainan dan nilai penyatuan staf USM.

"SUKJAP bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang memperkukuhkan silaturrahim warga USM merentas jabatan. Tahun ini, dengan penyertaan aktif daripada Zon 10 dan sokongan padu setiap PTJ, kejohanan ini berjaya menjadi platform penyatuan sukan dan perkhidmatan yang harmoni."

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jawatankuasa, pasukan perubatan, pegawai teknikal serta pengadil yang memastikan kejohanan berlangsung lancar dan berprestij.

Kejohanan Futsal SUKJAP USM 2025 membuktikan bahawa sukan bukan sahaja medan persaingan, tetapi juga wahana mengeratkan hubungan dalam komuniti universiti. Tahniah kepada semua pasukan yang bertanding dan kemenangan terbesar adalah semangat kesukanan dan nilai kebersamaan yang dipamerkan warga USM, seiring dengan penyampaian perkhidmatan cemerlang.

Keputusan Kejohanan Futsal SUKJAP USM 2025

Kategori Lelaki

🏆 Johan: Zon 2

🥈 Naib Johan: Zon 8

🥉 Ketiga Bersama: Zon 5 & Zon 6

Kategori Wanita

🏆 Johan: Zon 10

🥈 Naib Johan: Zon 6

🥉 Ketiga Bersama: Zon 5 & Zon 1