USMKK FC LONJAKAN DIMENSI BAHARU SUKAN USM

Pasukan Futsal USM Kampus Kesihatan (USMKK FC) kini memulakan langkah berani apabila bersaing di arena Malaysia Premier Futsal League (MPFL) Divisyen 2, kejohanan futsal profesional yang berprestij di bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Penyertaan ini bukan sekadar membawa nama universiti, tetapi menjadi manifestasi kebanggaan warga kampus dalam mengangkat sukan ke pentas kebangsaan.

TIGA TANGGA TERATAS SASARAN UTAMA USMKK FC
USMKK FC hadir ke MPFL Divisyen 2 dengan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok 3 teratas, seiring harapan yang ditetapkan oleh pihak Pendaftar USM. Walaupun laluan tampak berliku dengan beberapa siri kecederaan yang melanda para pemain utama, semangat juang di dalam setiap pemain tetap menyala. Pelapis muda yang berbakat sedia tampil membuktikan kemampuan, jelas menunjukkan bahawa pasukan ini memiliki keutuhan dan karakter kompetetif yang sebenar.
Adunan barisan pengurusan dan jurulatih pasukan yang dipilih berdasarkan pelbagai latar pengalaman dan kemahiran memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat kesungguhan bagi membuktikan bahawa skuad muda ini mampu mengorak langkah lebih jauh serta memberi cabaran hebat kepada semua pasukan yang bertanding. Semangat tidak mengenal erti putus asa menjadi nadi utama seluruh titik tolak kebangkitan skuad USMKK FC ini.

SOKONGAN PENGURUSAN TERTINGGI UNIVERSITI MEMBAKAR SEMANGAT LUAR BIASA PASUKAN
Suntikan moral yang sangat berbekas diterima oleh pasukan apabila Naib Canselor USM meluluskan bajet khas bagi membolehkan USMKK FC bersaing di pentas MPFL. BHEPA Kampus Kesihatan melalui Pusat Sukan dan Rekreasi USM turut memainkan peranan penting dalam mengurus logistik, tatakelola kewangan dan pentadbiran pasukan secara umum. Malah kolaborasi pintar bersama Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dalam aspek pemakanan sukan, pemulihan dan kecergasan telah melonjakkan lagi tahap profesionalisme pasukan.
Setiap sesi latihan dirancang secara saintifik, memanfaatkan kemudahan sedia ada di universiti serta mengoptimumkan kepakaran pensyarah dalam bidang sains sukan dan psikologi sukan. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan tahap prestasi pemain bahkan membentuk budaya pasukan yang lebih sistematik, berstruktur dan bersedia untuk menggegar saingan liga profesional ini.

“BUKAN SEKADAR PASUKAN, INI SEMANGAT BAHARU SUKAN DI USM".
Pengurus Pasukan USMKK FC, Encik Hafiz Assad Zakaria ketika dihubungi menzahirkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan anak buahnya untuk bersaing di pentas berprestij ini. Setelah melepasi separuh perjalanan liga, skuad muda ini membuktikan bahawa kita mampu bersaing dan tidak perlu merasa gentar terhadap mana-mana pasukan yang ditentang. Sokongan padu warga USM yang setia berada di belakang pasukan ini menjadi tonik terbaik untuk menampilkan aksi penuh bersemangat.
SUKAN DAN USM
USMKK FC kini menjadi simbol kekuatan kampus dalam dunia sukan profesional. Gabungan komitmen pemain, persediaan saintifik, serta dokongan penuh universiti menjadikan pasukan ini calon utama untuk mencipta sejarah baharu di MPFL Divisyen 2. Ayuh warga USM, kita kibarkan panji kampus di pentas futsal Malaysia!