BOLA KERANJANG -USM TERUS BANGKIT KUMPUL PENGALAMAN BERHARGA DI MACAU

Macau, 26 Jun 2025 — Pasukan bola keranjang Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan cabaran di 2025 International University Basketball Invitational Tournament dengan dua perlawanan yang penuh cabaran, namun dipenuhi nilai pengalaman berharga buat pemain muda pasukan.

Dalam perlawanan pembuka tirai, USM berdepan ujian getir apabila tewas kepada pasukan pilihan, The University of Sydney dengan keputusan 45-115. Meskipun berdepan lawan yang memiliki kelebihan fizikal dan pengalaman, anak-anak buah USM tetap berjuang hingga ke detik terakhir.

Aksi perlawanan kedua pula menyaksikan peningkatan ketara dalam permainan USM apabila memberikan tentangan lebih seimbang kepada Seoul National University sebelum tewas 87-70. USM berjaya mengurangkan jurang mata dan mempamerkan semangat juang tinggi, khususnya di suku ketiga dan keempat.
Encik Hafezi Md Zin Timbalan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM ketika dihubungi menyifatkan dua aksi ini sebagai medan penting buat pemain menimba pengalaman, membiasakan diri dengan corak permainan antarabangsa serta membina keyakinan menghadapi perlawanan akan datang.
"Kita hadir untuk merebut peluang dan pengalaman berharga bertanding di pentas besar untuk terus berikan cabaran dengan semangat pemain yang tidak pernah mengalah. Setiap perlawanan ini adalah pelajaran buat mereka, dan kami akan terus perbaiki mutu permainan untuk perlawanan seterusnya," ujar beliau.

USM akan menutup saingan peringkat kumpulan menentang Zhejiang University esok dan berharap dapat mencatat keputusan lebih positif dalam saingan penentuan ranking kejohanan.