USM RAIH PINGAT GANGSA DI KEJOHANAN NUS LIFESAVING INVITATIONAL 2025

SINGAPURA, 29 Jun 2025 – Kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) terus mencipta sejarah apabila 2 orang atlet penyelamatnya Teoh Kai Yuan & Wong Soh Kim telah berjaya meraih pingat gangsa dalam acara ‘Womans 12.5m Line Throw’ pada Kejohanan NUS Lifesaving Invitational International Championship 2025 yang berlangsung di National University of Singapore (NUS) dari 27 hingga 29 Jun 2025.
Acara ini menyaksikan penyertaan atlet-atlet penyelamat dari pelbagai universiti rantau Asia, dengan pertandingan yang cukup kompetitif dalam setiap kategori. Atlet USM yang bertanding dalam acara ‘12.5m Line Throw’ itu berjaya mencatatkan masa terbaik peribadi untuk merangkul tempat ketiga, sekaligus membawa pulang satu gangsa berharga buat kontinjen USM.

Menurut Cik Yusbita Dato’ Haji Yaacob, Pegawai Pengiring kontinjen USM ke kejohanan ini, kejayaan tersebut merupakan hasil daripada komitmen latihan berterusan serta semangat juang tinggi dalam kalangan atlet penyelamat USM.
“Walaupun bertanding di luar negara dengan saingan hebat daripada pasukan Singapura, Thailand dan Indonesia, atlet kita berjaya mengekalkan fokus dan membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa. Pingat ini sangat bermakna buat pasukan dan menjadi penyuntik motivasi menjelang kejohanan-kejohanan akan datang,” ujar beliau.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pengukuhan prestasi atlet USM dalam sukan penyelamat, malah turut membuka peluang memperluaskan jaringan kerjasama sukan universiti serantau. Kontinjen USM dijangka akan terus aktif dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa bagi mempertingkatkan lagi pengalaman dan pendedahan atlet di peringkat global.
Syabas diucapkan kepada kontinjen USM!