Skip to main content

USM MINDEN TIGER TEWAS AKSI PERTAMA DI TANGAN UUM

Arau, 15 Jun 2025 — Pasukan bola sepak USM Minden Tiger memulakan kempen mereka dalam Kejohanan Bola Sepak IPT Divisyen 2 dengan langkah kiri apabila tewas tipis 0-1 kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Padang Jati, UiTM Arau, Perlis pagi tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan, namun UUM lebih bijak memanfaatkan peluang apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi satu gerakan kemas di minit ke-35. Gol tersebut kekal hingga tamat babak pertama meskipun USM turut mencipta beberapa peluang berbahaya.

USM Minden Tiger berpeluang menyamakan kedudukan pada awal babak kedua selepas dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-52. Namun, sepakan yang diambil penyerang utama, Muhammad Danish Arfan berjaya diselamatkan penjaga gol UUM, sekaligus mengecewakan kem USM yang hadir dengan semangat tinggi untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

Pengurus pasukan USM, Syed Mohd Fairuz Syed Omar Nasiry, dalam reaksinya selepas perlawanan berkata, meskipun keputusan tidak memihak kepada pasukannya, beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang yang ditampilkan para pemain.

“Anak-anak buah kita bermain bersungguh-sungguh, cuma sedikit kesilapan di bahagian pertahanan memberi ruang kepada UUM menjaringkan gol. Kita juga ada peluang untuk bangkit melalui penalti, sayangnya tidak berjaya disempurnakan. Kita akan bangkit dalam perlawanan kedua,” ujar beliau.

USM Minden Tiger dijadualkan bertemu MSU dalam perlawanan seterusnya pada 16 Jun nanti, dan mereka kini tiada pilihan selain meraih kemenangan bagi terus bersaing dalam kelompok teratas kumpulan.