USM MENGAUM DI UMS, SABAH
USM, 2 Ogos 2024 – Majlis Penyerahan Bendera Universiti Sains Malaysia (USM) ke Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2024 telah berlangsung dengan lancar jam 10:30 pagi di Balai Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM.
Majlis ini dimulakan dengan ucapan daripada Ketua Kontingen USM, En. Azizudin Mohd Sharif, yang juga merupakan Pendaftar USM. “Kontingen USM adalah yang terbesar kali ini, dan ini menunjukkan komitmen kita terhadap kecemerlangan dalam sukan. Saya berharap semua atlet akan bermain dengan penuh semangat kesukanan, menjaga nama baik universiti, dan memberi persembahan terbaik mereka,” kata En. Azizudin.
Sebagai simbolik kepada majlis ini, bendera USM telah diserahkan kepada Ketua Kontingen oleh Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Industri dan Jaringan Masyarakat. Penyerahan bendera ini menandakan semangat dan sokongan padu pihak universiti kepada para atlet yang akan bertanding pada 9 hingga 17 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran para pegawai kanan universiti, jurulatih, dan para atlet yang akan bertanding. Acara penyerahan bendera ini diakhiri dengan sesi bergambar dan perbincangan ringkas antara para atlet dan pengurusan universiti.
SUKUM 2024 dijangka akan berlangsung dengan penuh semangat dan persaingan sihat antara universiti-universiti awam di Malaysia. Dengan semangat yang ditunjukkan dalam majlis penyerahan bendera ini, diharapkan kontingen USM akan membawa pulang kejayaan dan mengharumkan nama USM. Jenis sukan yang akan disertai ialah :Bola Sepak Veteran & Senior, Berbasikal, Futsal, Bola Jaring, Tenpin Boling, Golf, Hoki, Petanque, Ping Pong, Olahraga, Sepaktakraw, Tenis, Badminton, Catur, dan Bola Tampar Lelaki.