Skip to main content

USM FC TIADA ISTILAH PUTUS ASA HINGGA DI MINIT TERAKHIR, FAUZI ABDUL KADAR JADI WIRA MINDEN.

Minden, 12 Julai 2025 — Saat kekalahan di depan mata, supersub Fauzi Abdul Kadar muncul wira dengan jaringan penyamaan dramatik di minit-minit akhir untuk memastikan USM FC tidak pulang tangan kosong dalam aksi Liga Divisyen 1 Pulau Pinang petang tadi.

Perlawanan penuh sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan kesebelasan terbaik. Aksi seimbang di awal perlawanan hanya berlegar di tengah padang, sebelum USM FC memecah kebuntuan pada minit ke-40. Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Kampung Rawa FC dihadiahkan sepakan penalti, disempurnakan kemas oleh Faiz Subri sebelum tamat babak pertama.

USM FC terus dirundung malang apabila Syahmi Syakir dibuang padang selepas kad kuning kedua seawal babak kedua, menyebabkan pasukan terpaksa bertahan dengan 10 pemain. Kesempatan itu dimanfaatkan Kampung Rawa FC untuk mendahului 2-1 hasil jaringan mudah selepas kesilapan penjaga gol USM FC.

Namun segalanya berubah di minit-minit terakhir perlawanan. Ketika penyokong USM FC hampir kecewa, Pemangku Ketua Jurulatih Razif Junaidy membuat pertukaran taktikal penting dengan memasukkan dua supersub — Najiy dan Fauzi Abdul Kadar. Percaturan itu berbaloi apabila Fauzi menyudahkan satu gerakan balas pantas untuk mengikat kedudukan 2-2, sekaligus menceriakan lebih 200 penyokong setia yang hadir di Padang Minden.

“Kami tak pernah menyerah. Gol minit akhir itu bukti karakter USM FC musim ini. Saya bangga dengan semua pemain,” kata Razif selepas tamat perlawanan.

USM FC kini kekal tanpa kalah dalam dua perlawanan awal liga dan semakin hampir membina reputasi pasukan pencabar kejuaraan musim ini.