USM FC - SEJARAH BAKAL DICIPTA PIMPIN SEMANGAT UNIVERSITI LUAR BIASA

Stadium USM petang tadi menjadi saksi kepada detik penuh inspirasi apabila Presiden USM FC merangkap Pendaftar Universiti Sains Malaysia, YBhg. En. Mohd Azizudin Mohd Shariff, menyampaikan amanat yang membakar semangat kepada seluruh skuad USM FC selepas sesi fotografi rasmi pasukan dan latihan terakhir menjelang perlawanan akhir.
Dengan nada penuh keyakinan dan bangga, beliau menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya atas semangat juang luar biasa yang ditampilkan oleh para pemain dalam Perlawanan Separuh Akhir 2 yang lalu — satu perlawanan yang menuntut pengorbanan, keberanian dan mentaliti juara.

“Perlawanan Akhir A2 AFL ini akan menjadi kemuncak pencapaian bagi hampir keseluruhan pemain USM FC di pentas kebangsaan,” tegas beliau.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan tidak pernah hadir tanpa harga yang perlu dibayar.

“Pingat Juara atau Naib Juara tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Ia hanya boleh ditebus dengan keringat, disiplin, kesatuan pasukan dan perjuangan tanpa mengenal erti menyerah kalah.”
Perjalanan USM FC bukanlah baru bermula ke final kali ini punyai nilai sesuatu yang amat berharga. Tentangan sengit di peringkat separuh akhir menguji kekuatan fizikal dan mental, namun semangat setiakawan dan kepercayaan kepada misi pasukan menjadi pemangkin kebangkitan hingga melangkah ke pentas akhir.
“Ini adalah rezeki dan peluang keemasan. Di perlawanan akhir nanti, turunlah ke gelanggang dengan sepenuh jiwa, berjuanglah sehingga titisan peluh terakhir. Jadikan kemenangan sebagai hadiah kepada diri sendiri, sebagai sejarah buat pasukan, dan sebagai kebanggaan kepada Universiti Sains Malaysia serta Negeri Pulau Pinang,” ujar beliau dengan penuh semangat.
USM FC bakal berdepan cabaran terakhir menentang AZM Rovers dalam Perlawanan Akhir A2 AFL pada 24 Januari 2026, di venue yang akan diumumkan kelak. Satu perlawanan, satu matlamat, satu impian — menjulang kejuaraan dan mengukir nama dalam lipatan sejarah bola sepak universiti dan kebangsaan.
USM FC kini berdiri di ambang kegemilangan nama institusi pengajian tinggi dan juga bawa harapan warga Universiti untuk sama-sama bersatu hati, sejiwa, selangkah menuju puncak.