USM FC HADIAHKAN KEMENANGAN SEMPENA MERAIKAN KEMASUKKAN PELAJAR BAHARU USM!

Arau, Perlis – USM FC meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Perlis Titans dengan keputusan meyakinkan 3-1 dalam aksi saingan A2 AFL yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Utama Arau.
Perlawanan bermula dengan tempo pantas apabila USM FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17. Shakir yang tidak dikawal mudah menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kiri untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Namun kelebihan itu hanya bertahan dua minit. Perlis Titans pantas menyamakan kedudukan hasil satu percubaan jarak jauh dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol USM FC. Gol tersebut kembali menghidupkan semangat tuan rumah, namun pertahanan USM FC terus kekal disiplin.
Usaha gigih skuad kendalian USM FC akhirnya membuahkan hasil di penghujung babak pertama. Mohd Aminuddin bijak memanfaatkan peluang dalam kawasan penalti untuk mengembalikan kelebihan 2-1 sebelum pengadil meniup wisel separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, kedua-dua pasukan tampil lebih berhati-hati dalam menyusun serangan. USM FC sesekali melancarkan gerakan berbahaya dan akhirnya berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-80. Kali ini rembatan deras dari luar kotak penalti menerjah jaring sekali gus memadam sisa kebangkitan Perlis Titans.
Beberapa percubaan tambahan selepas itu sekadar tersasar dan dinafikan barisan pertahanan tuan rumah, memastikan kemenangan kekal 3-1 milik USM FC.

Turut hadir memberikan sokongan moral ialah Pendaftar Universiti Sains Malaysia merangkap Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff, yang menzahirkan penghargaan buat barisan pemain dan kejurulatihan.
“Terima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan. Kemenangan hari ini adalah kemenangan semangat untuk USM meraikan kemenangan bersama warga Universiti Sains Malaysia ” katanya sejurus tamat perlawanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong setia USM FC yang sanggup hadir ke stadium untuk memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan.
Dengan kemenangan ini, USM FC bukan sahaja mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga, malah membuktikan bahawa semangat perjuangan serta kebersamaan mampu mengangkat nama universiti dan juga meraikan kemasukan pelajar baharu semua kampus USM.
“USM Kebanggaan Kami, Kami Memimpin!”