USM FC DIKEKANG HEBAT AAK PUNCAK ALAM FC

SEPARUH AKHIR PERTAMA PENUH DEBARAN DI STADIUM OLAHRAGA USM
3 Januari 2026 | Stadium Olahraga USM
Aksi separuh akhir pertama Liga AFL A2 menyajikan pertembungan intensiti tinggi apabila USM FC terikat keputusan seri selepas dikekang hebat oleh AAK Puncak Alam FC dalam perlawanan sarat dengan taktikal, disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa di Stadium Olahraga USM.
AAK Puncak Alam FC yang dibimbing oleh Hasmawi Hassan, figura prolifik Liga Malaysia era awal 2000-an yang pernah diberi gelaran “Michael Owen”, tampil dengan pendekatan berani dan agresif. Sentuhan pengalaman Hasmawi jelas terserlah apabila AAK bukan sahaja berjaya mengekang tempo permainan USM FC, malah melancarkan beberapa serangan bertali arus yang hampir merobek gawang tuan rumah.
Namun, keampuhan benteng USM FC yang dipimpin oleh jurulatih Azizul Ahmad Sabri kekal utuh. Dalam tekanan yang berterusan, skuad universiti itu mempamerkan kematangan dan organisasi permainan yang tinggi, terutama di bahagian pertahanan.
Nama Muhamama Hazrull Hafiz Zulkifli muncul sebagai wira USM FC malam tadi. Penjaga gol itu beraksi cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat kritikal, menafikan peluang keemasan AAK Puncak Alam dan memastikan USM FC terus bernafas dalam misi mara ke final.
Jurulatih AAK Puncak Alam FC, Hasmawi Hassan, memuji komitmen anak buahnya dan optimis menjelang perlawanan timbal balik:
“Ini baru separuh akhir pertama. Pemain menunjukkan disiplin dan keberanian tinggi. Di Kuala Selangor nanti, kami perlu lebih tajam di hadapan gol dan mengekalkan intensiti permainan.”
Sementara itu, jurulatih USM FC, Azizul Ahmad Sabri, mengakui cabaran sukar yang dihadapi pasukannya:
“Separuh akhir sentiasa menuntut fokus dan ketahanan mental. Saya bangga dengan semangat pemain, khususnya penjaga gol. Aksi kedua nanti kami perlu lebih berani dan klinikal untuk memastikan kemenangan.”
SEPARUH AKHIR KEDUA
Perlawanan separuh akhir kedua dijadualkan pada:
10 Januari 2026
Stadium Kuala Selangor
Dengan agregat masih terbuka, segala kemungkinan kini terhidang buat kedua-dua pasukan. USM FC membawa misi menoktahkan cabaran dengan kemenangan di tempat lawan, manakala AAK Puncak Alam FC pula bersedia memanfaatkan sokongan sendiri untuk mencipta sejarah.
Satu yang pasti — Kuala Selangor bakal menjadi pentas pertempuran sebenar, di mana hanya satu pasukan akan melangkah ke final Liga AFL A2.