USM FC BUKA LANGKAH CEMERLANG, TEWASKAN KELAB BELIA KAMPUNG MAKAM 6-1

GEORGE TOWN, 29 Jun 2025 – USM FC memulakan kempen Liga Divisyen 1 Pulau Pinang dengan penuh bergaya apabila membenam Kelab Belia Kampung Makam dengan jaringan 6-1 dalam aksi sulung yang berlangsung di Padang A, USM petang tadi.
Barisan pemain baharu yang dibentuk sejak tahun lalu membuktikan keserasian dan disiplin tinggi apabila mendominasi permainan seawal wisel permulaan. USM FC mendahului 3-0 pada separuh masa pertama, hasil gerakan kemas dan penyudah bertenaga di hadapan gol.
Memasuki separuh masa kedua, anak buah Azizul Ahmad Sabri terus menekan dengan tambahan 3 gol lagi, sebelum Kelab Belia Kampung Makam meraih jaringan saguhati di penghujung perlawanan. Keputusan penuh menyaksikan USM FC menamatkan perlawanan dengan kemenangan meyakinkan 6-1.
Lebih bermakna, perlawanan ini turut membawa mesej ‘USM Anti Rasuah & Bebas Dadah’ hasil kerjasama Unit Integriti USM, sebagai simbol komitmen universiti terhadap budaya sukan bersih dan berintegriti.
Ketua Jurulatih Encik Azizul Ahmad Sabri berkata, “Kemenangan ini hasil kerja keras pemain yang sangat komited. Persiapan sejak tahun lalu dan beberapa perlawanan persahabatan membantu membentuk keserasian yang akhirnya diterjemahkan di atas padang. Saya sangat bangga dengan semangat mereka.”
Pengurusan USM FC turut menyeru seluruh warga kampus serta penyokong setia untuk terus hadir memberi sokongan dalam perlawanan-perlawanan berikutnya.