USM FALCONS JULANG KEJUARAAN 4 BY 4 TOUR JURU 2025 - PEMACU SEMANGAT BOLA TAMPAR USM

JURU, 23 November 2025 — USM Falcons sekali lagi membuktikan ketajaman taktikal, ketahanan mental dan semangat juang yang tidak berbelah bahagi apabila muncul Juara Kejohanan 4 by 4 Penang Tour 2025 yang berlangsung di Juru.
Kejayaan bergaya ini bukan sahaja menepati KPI yang ditetapkan malah mengangkat nama Universiti Sains Malaysia sebagai antara kuasa bola tampar di Pulau Pinang.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan Falcons bermula dengan penuh cemerlang dalam aksi peringkat kumpulan. Walaupun bermula sedikit perlahan ketika bertemu Ronin dengan kekalahan tipis 26-31, Falcons kembali bangkit dengan karakter juara, menundukkan Snowflake 31-28 untuk mengesahkan slot ke suku akhir pada 23 November.
Memasuki peringkat kalah mati, DNA “fighter” Falcons jelas menyerlah. Dalam pertembungan penuh debaran menentang Itik Aye VC, Falcons mengutip kemenangan penting 31-29 untuk mara ke separuh akhir. Aksi konsisten diteruskan dengan kemenangan bergaya ke atas Juru United 25-18, 25-21, sekali gus mengesahkan tempat ke pentas final.
Di perlawanan akhir, skrip kebangkitan muncul sempurna apabila Falcons turun menentang lawan yang sama di peringkat kumpulan, Ronin. Namun kali ini, semuanya berbeza. Falcons tampil lebih tenang, lebih matang dan lebih garang, menutup permainan dengan kemenangan meyakinkan 25-16 dan 25-14. Detik itu mengesahkan USM Falcons sebagai juara sah Kejohanan 4 by 4 Tour Juru 2025.
USM Falcons bukan sekadar menang satu kejohanan. Mereka menunjukkan contoh terbaik apa yang dimaksudkan dengan semangat USM – berilmu, berdisiplin, tidak mengalah dan sentiasa menuju kecemerlangan.
Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan — pemain, jurulatih, pegawai serta penyokong — yang terus memberi sokongan. Kemenangan ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada lebih banyak kejayaan bola tampar USM di masa hadapan.
Fly high, USM Falcons. This is just the beginning!