USM CIPTA KEJAYAAN DI PENANG STALLIONS 3x3 LEAGUE 2025.

GEORGE TOWN, 28 Jun 2025 – Kejohanan Penang Stallions 3x3 League 2025 yang berlangsung dari 10 Mei hingga 28 Jun lalu di Queensball Mall melabuhkan tirainya dengan penuh bergaya apabila pasukan JK Advisory dinobatkan sebagai juara.
Tempat kedua menjadi milik CKK King Kong, manakala Timeout di tempat ketiga.
Lebih membanggakan, pasukan Bola Keranjang USM berjaya menempatkan diri di kedudukan keempat (3rd Runner-Up) dalam kejohanan berprestij ini yang berlangsung setiap hujung minggu, menghimpunkan pasukan-pasukan pilihan dari seluruh Pulau Pinang.

Jurulatih pasukan, Encik Nasrullah Noor Hisham, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu bukti kerja keras dan komitmen tinggi barisan pemain muda USM yang tidak pernah berputus asa walaupun berdepan saingan sengit.
"Saya bangga dengan semangat juang anak-anak USM. Walaupun ramai pasukan berpengalaman turun bertanding, kita buktikan bahawa dengan disiplin dan usaha berterusan, kita mampu bersaing di pentas ini. Kejohanan ini juga menjadi platform penting untuk pemain kita menimba pengalaman berharga,” ujar En. Nasrullah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Pusat Sukan dan Rekreasi USM khususnya Sektor Penyediaan Atlet Usm serta warga kampus yang sentiasa memberi sokongan sepanjang kejohanan berlangsung.
Pasukan bola keranjang USM dijangka akan terus memanfaatkan momentum ini bagi menghadapi kejohanan-kejohanan lain di peringkat universiti dan kebangsaan yang akan datang.
Tahniah USM! Terus mara dan harumkan nama Universiti!