USM CEMERLANG DUA KEMENANGAN BESAR DALAM LIGA HOKI PULAU PINANG 2025/2026

Pasukan hoki Universiti Sains Malaysia (USM) memulakan kempen Liga Hoki Pulau Pinang Sesi 2025/2026 dengan penuh bergaya apabila mencatat dua kemenangan besar tanpa bolos.
Dalam perlawanan pembukaan pada 27 Disember 2025 di Stadium Hoki USM, USM menewaskan MI Young Boys 10–0, sebelum mengulangi keputusan sama dengan menundukkan PESSCA 11–0 pada 4 Januari 2026 di Stadium Hoki Bertam, Kepala Batas.
Mengulas prestasi pasukan, jurulatih USM Mohd Fahmi Nasir menyatakan bahawa kejayaan awal ini adalah hasil persediaan rapi dan perancangan jangka panjang pasukan bagi menghadapi cabaran musim 2026.
“Fokus kami bukan sekadar menang di peringkat awal, tetapi membina pasukan yang konsisten dari segi kecergasan, disiplin taktikal dan mentaliti pemain. Tahun 2026 menuntut persaingan lebih sengit dan USM perlu sentiasa bersedia,” katanya.
USM kini dilihat berada di landasan tepat untuk terus mencabar kejuaraan liga musim ini.