USM-AUSC INTERNATIONAL SPORTS INNOVATION CHALLENGE 2025 BERLANGSUNG CEMERLANG, PACU INOVASI SUKAN KE PERINGKAT GLOBAL

PULAU PINANG, 23 November 2025 – Program USM-AUSC International Sports Innovation Challenge 2025 yang berlangsung dari 21 hingga 23 November 2025 di Setia Spice Arena, Pulau Pinang telah melabuhkan tirainya dengan penuh kejayaan, sekali gus membuktikan komitmen Universiti Sains Malaysia (USM) dalam memacu inovasi sukan ke tahap antarabangsa.

Bertemakan “Empowering Innovation, Performance, and Health Through Sports Science, Engineering, and Technology”, program berprestij ini menghimpunkan pelbagai kelompok peserta termasuk pelajar, penyelidik, profesional sukan, jurulatih, guru sekolah dan pakar industri. Penyertaan menyeluruh ini menunjukkan kesungguhan semua pihak untuk memperkukuh kecemerlangan sukan melalui perkembangan sains, teknologi dan kejuruteraan.

Empat kategori utama dipertandingkan iaitu Sports Science & Technology, Health, Fitness & Rehabilitation, Sports Education & Development, dan Sports Management & Strategy, dengan hadiah keseluruhan bernilai RM17,500 serta Cabutan bertuah berjumlah RM5,000.

Penganjuran edisi 2025 ini juga membuktikan bahawa ia berjaya mencapai matlamat utama iaitu merancakkan inovasi sukan, memperluas jaringan kerjasama akademia–industri, dan memupuk budaya penyelidikan berimpak tinggi dalam kalangan generasi muda.

Lebih penting lagi, Pusat Sukan dan Rekreasi USM tampil selangkah ke hadapan dengan komitmen positif dalam menyokong usaha pembangunan inovasi sukan, bukan sahaja sebagai penganjur tetapi sebagai pemangkin kepada budaya kreatif dan berorientasikan penyelesaian dalam dunia sukan moden. Sokongan ini mengukuhkan peranan USM sebagai pusat kecemerlangan sukan yang progresif.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Sukan dan Rekreasi USM, dengan kerjasama ASEAN University Sport Council (AUSC), Centre of Innovation USM, menjadikan edisi 2025 sebagai antara penganjuran paling berimpak dan berjaya setakat ini.