Skip to main content

TEAM FISIO USM - TULANG BELAKANG KEJAYAAN USM DI SUKANUN 2025

Walaupun tumpuan utama SUKANUN 2025 adalah kepada aksi-aksi di gelanggang, tidak dapat dinafikan bahawa peranan pasukan fisioterapi (fisio) Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan salah satu tunjang penting dalam memastikan kontinjen sentiasa berada pada tahap terbaik.

Sepanjang temasya berlangsung, pasukan fisio USM berkhidmat tanpa mengenal penat lelah dalam memberikan rawatan, pemulihan segera serta sokongan kepada atlet. Dari sesi ‘taping’, urutan pemulihan, sehinggalah kepada persediaan ‘pre-game’, mereka memastikan setiap atlet USM mampu turun beraksi dengan penuh keyakinan.

Bagi atlet yang mengalami kecederaan ringan, kepantasan dan kepakaran pasukan fisio membantu mengurangkan kesakitan sekali gus memberi peluang untuk meneruskan cabaran. Kecekapan inilah yang membolehkan ramai atlet USM kekal kompetitif walaupun jadual pertandingan padat dan sengit.

Lebih daripada sekadar tugasan profesional, pasukan fisio USM menjadi sumber motivasi buat para atlet. Sokongan moral yang diberikan menjadikan mereka sahabat rapat dan pendorong semangat ketika kontinjen berdepan dengan tekanan pertandingan.

May be an image of 6 people, people playing American football and grass

Pihak pengurusan dan kontinjen USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota pasukan fisioterapi yang telah berkorban masa, tenaga, dan kepakaran sepanjang temasya. Sumbangan mereka membuktikan bahawa kejayaan kontinjen bukan hanya datang daripada pungutan pingat, tetapi juga daripada kerja berpasukan yang kukuh di balik tabir.

Syabas dan terima kasih kepada pasukan fisio USM – anda adalah wira tanpa pingat yang sebenar!