SUKJAP USM : ZON 2 BAKAL PERTAHANKAN KEJUARAAN, ZON 1 TAMPIL DENGAN BARISAN MANTAP
final Bola Sepak SUKJAP USM 2025:
USM, Pulau Pinang, 28 Mei 2025 — Detik yang dinanti-nantikan peminat bola sepak kampus bakal tiba apabila perlawanan akhir bola sepak SUKJAP USM 2025 akan menemukan penyandang juara, Zon 2, menentang cabaran hebat dari Zon 1 pada petang ini di Padang Utama USM.
Zon 2 yang dibarisi pemain-pemain utama daripada pasukan USM FC tampil dengan misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. Dengan kelebihan pengalaman beraksi dalam saingan liga tempatan dan kejohanan universiti, pasukan ini dilihat sebagai pilihan untuk sekali lagi menjulang trofi berprestij ini.
Namun, laluan mereka ke puncak tidak mudah apabila Zon 1 hadir dengan reputasi tersendiri, menampilkan deretan nama besar yang pernah mewarnai kancah bola sepak negeri Pulau Pinang. Antara yang menjadi tumpuan termasuklah Azizul Ahmad Sabri, Ahmad Norafandy, Amirul Omar, Fakhrul Radzi, Zubaidi Alwee, serta penjaga gol berpengalaman, Ahmad Solehin.
Kombinasi pemain berstatus legenda tempatan ini bersama bakat muda Zon 1 menjanjikan aksi sengit dan taktikal menarik. Pertembungan dua pasukan yang masing-masing sarat dengan kelebihan tersendiri ini dijangka menghiburkan para penyokong yang pastinya membanjiri venue perlawanan.
Perlawanan akhir ini dijangka berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran penyokong kedua-dua pasukan, warga kampus dan komuniti sekitar.
Siapakah yang bakal bergelar juara? Zon 2 atau Zon 1?
Segalanya bakal terjawab petang ini di Padang Minden A USM.
