SUKJAP USM 2025: SEMANGAT SUKAN WARGA KAMPUS KEMBALI BERGEMA
SUKJAP USM 2025: SEMANGAT SUKAN WARGA KAMPUS KEMBALI BERGEMA
Pulau Pinang, Mei 2025 — Universiti Sains Malaysia (USM) kembali meriah apabila Sukan Antara Jabatan Pusat Pengajian (SUKJAP) 2025 membuka tirainya sejak 13 Mei lalu. Pelbagai acara menarik telah dan bakal dipertandingkan sepanjang Mei hingga Julai ini, menjadikan kampus lebih hidup dengan sorakan, gelak tawa dan semangat kesukanan yang membara.
Acara pembukaan bermula dengan Bolasepak yang berlangsung dari 13 Mei hingga 5 Jun 2025. Beberapa perlawanan awal sudah mencuri tumpuan dengan aksi penuh dramatik dan jaringan menarik yang menghiburkan para penyokong.
Seterusnya, Bola Tampar (Lelaki & Wanita) diadakan pada 21 Mei 2025, menyaksikan pasukan-pasukan pilihan bertarung di gelanggang dengan aksi padu dan servis-servis bertenaga. Tidak ketinggalan, acara Badminton yang berlangsung pada 27 Mei 2025, menghidupkan suasana di dewan dengan sorakan peminat sukan raket itu.
Bakal tiba pada bulan Jun kelak akan menyaksikan lebih banyak acara menarik bermula Acara Larian Kampus (L & W) pula dijadualkan pada 10 Jun 2025, memberi peluang kepada warga kampus berlari sambil menikmati persekitaran kampus yang hijau dan nyaman. Acara Petanque bakal diadakan pada 11 Jun 2025, disusuli Bola Jaring dan Dart serentak pada 17 Jun 2025. Carom akan berlangsung pada 19 Jun 2025, manakala Sepak Takraw dijadualkan pada 26 Jun 2025, pasti menjanjikan aksi akrobatik menakjubkan di gelanggang.
Memasuki bulan Julai, gelanggang terus berasap dengan Futsal (L & W) yang dijadual pada 2 Julai 2025. Acara tradisional seperti Batu Seremban dan Congkak bakal mengimbau nostalgia di kalangan staf pada 9 Julai 2025, diikuti aksi sengit Hoki pada hari yang sama.
Ping Pong akan menghangatkan dewan sukan pada 10 Julai 2025, sementara Bowling yang sering menjadi antara acara paling meriah, akan berlangsung pada 12 Julai 2025.
Keseluruhan SUKJAP 2025 bukan sahaja medan pertandingan, malah platform mengeratkan hubungan antara staf pelbagai jabatan dan PTJ, dalam suasana santai dan sihat. Kepelbagaian acara yang ditawarkan tahun ini memenuhi citarasa semua — daripada sukan padang, sukan dalaman, sukan tradisional, hinggalah acara santai seperti larian kampus.
Semoga SUKJAP 2025 terus berjalan lancar dengan penyertaan aktif daripada semua jabatan, dan semangat kesukanan warga USM sentiasa mekar sepanjang tahun.




