SUKJAP 4 PENJURU USM 2026: KAMPUS KESIHATAN RANGKUL GELARAN JUARA KESELURUHAN, SEMARAKKAN SEMANGAT KESUKANAN WARGA USM

USM, PULAU PINANG, 5 Julai 2026 – Kontinjen Kampus Kesihatan muncul juara keseluruhan Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) 4 Penjuru Universiti Sains Malaysia (USM) 2026 selepas mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan meraih 5 pingat emas, 6 pingat perak dan 1 pingat gangsa, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan SUKJAP 4 Penjuru USM 2026.
Kejayaan tersebut diraikan dalam Majlis Penutup dan Makan Malam SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah, menghimpunkan atlet, pegawai, urus setia dan warga universiti yang bersama-sama menjayakan temasya sukan tahunan itu.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, berkata kejohanan ini bukan sekadar medan memburu kejuaraan, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh semangat kebersamaan, perpaduan serta budaya hidup sihat dalam kalangan warga universiti.
"Sukan bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa yang terbaik, malah menjadi wahana membentuk disiplin, integriti, kepimpinan serta semangat kerja berpasukan yang tinggi," katanya ketika menyempurnakan majlis penutup kejohanan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Jabatan Pendaftar, Kelab Sukan Staf USM, serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus memastikan kejohanan berlangsung dengan lancar dan jayanya.
Edisi kali ini menyaksikan penyertaan kira-kira 560 atlet, pegawai dan urus setia daripada empat kontinjen iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin dan Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang bersaing penuh semangat dalam 14 acara sukan.
Dalam majlis yang sama, Zon 3 dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan SUKJAP Kampus Induk 2026 selepas mengumpul 4 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa, sekali gus membuktikan konsistensi prestasi cemerlang mereka di peringkat kampus.
Bagi kategori anugerah khas, Norsyazwani Nadirah Samsudin dari Kampus Kesihatan dipilih sebagai penerima Anugerah Most Valuable Player (MVP) SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 atas prestasi luar biasa dan sumbangan besar kepada kejayaan pasukannya. Sementara itu, Azlisufryzal Bunizar dari Kampus Induk menerima Anugerah Most Energetic Athlete hasil semangat juang, komitmen dan tenaga luar biasa yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Profesor Dr. Hairul Anwar Hashim; Bendahari USM, Dr. Rafizal Abd Rahim; serta barisan pengurusan tertinggi universiti.
Penganjuran SUKJAP 4 Penjuru USM 2026 sekali lagi membuktikan komitmen Universiti Sains Malaysia dalam memperkasa budaya sukan sebagai pemangkin kecemerlangan institusi. Lebih daripada sekadar pertandingan, kejohanan ini berjaya menyatukan warga universiti dalam semangat kekeluargaan, memupuk gaya hidup aktif dan sihat, serta melahirkan komuniti kampus yang berdaya saing, progresif dan seimbang selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan USM.