SUKJAP 2025: SUKAN TRADISIONAL SERLAHKAN KEAKRABAN & WARISAN STAF USM
USM, 9 Julai 2025 — Tradisi dan warisan terus segar di bumi Universiti Sains Malaysia (USM) apabila acara Congkak dan Batu Seremban yang dianjurkan sempena SUKJAP USM 2025 berlangsung meriah di Ruang Kombat USM semalam. Sambutan hangat daripada staf pelbagai zon membuktikan bahawa sukan tradisional masih punya tempat istimewa sebagai wahana penyatuan dan interaksi di kalangan komuniti kampus.

Keputusan Rasmi Pertandingan:
Acara Congkak
Johan: Zon 3
Naib Johan: Zon 2
Ketiga Bersama: Zon 10 & Zon 6
Pakaian Terbaik: Zon 3

Acara Batu Seremban
Johan: Zon 6
Naib Johan: Zon 1
Ketiga Bersama: Zon 3 & Zon 7
Pakaian Terbaik: Zon 10
Wadah Interaksi & Nostalgia Permainan Rakyat
Penganjuran acara ini bukan sekadar pertandingan, malah menjadi medium untuk staf USM mengimbas kembali nostalgia zaman kanak-kanak yang diisi dengan permainan rakyat yang penuh nilai santai, mesra dan harmoni. Melalui pertandingan ini, staf pelbagai jabatan dapat berkenalan, berinteraksi dan menyuburkan semangat kekitaan di luar ruang kerja formal.

Apa yang menarik, sebahagian besar peserta hadir lengkap dengan busana tradisional mengikut zon masing-masing, menambahkan lagi suasana meriah dan penuh warna-warni warisan tempatan. Zon 3 khususnya tampil menyerlah dengan pemakaian kreatif bertemakan budaya Melayu klasik dan dinobatkan Pakaian Terbaik bagi Congkak, manakala Zon 10 memukau juri dengan sentuhan warisan kontemporari bagi Batu Seremban.
Sambutan Luar Jangka
Menurut Penyelaras acara sukan tradisional SUKJAP 2025, Cik Yusbita Dato’ Yaacob, beliau amat terharu dengan sambutan yang diterima.
“Saya benar-benar tidak menyangka sambutan sebegini hangat daripada warga USM. Walaupun acara sukan tradisional ini sekadar pertandingan santai, tetapi semangat yang ditunjukkan oleh setiap zon sangat luar biasa. Kehadiran ramai staf yang sanggup datang lengkap berbusana tradisi, malah ada yang membawa alat permainan sendiri, menunjukkan kecintaan mereka terhadap warisan budaya kita.
Saya berharap program seperti ini dapat dijadikan acara tahunan kerana ia bukan sahaja menceriakan warga kampus, malah mengeratkan silaturahim dalam suasana santai yang penuh makna.”

Suara Peserta: Rasa Kampung Di Kampus
Antara peserta yang turut berkongsi keterujaan ialah Puan Khadijah Ahmad dari Zon 1, yang begitu teruja dapat menyertai acara Batu Seremban bersama rakan-rakan zon lain.
“Kalau dulu waktu kecil memang selalu main Congkak bawah rumah kampung… Bila diadakan macam ni, terasa hidup semula suasana kampung di kampus. Saya harap lepas ni lebih banyak sukan warisan diteruskan di USM. Bukan saja seronok, tapi dapat jumpa ramai kawan baru dari jabatan lain.”
SUKJAP USM 2025 terus membuktikan bahawa sukan bukan hanya soal kejuaraan, tetapi lebih kepada semangat persaudaraan, interaksi dan pemuliharaan warisan budaya. Tahniah kepada semua zon yang menyertai, dan diharap penganjuran acara sebegini akan menjadi agenda tahunan dalam memastikan warisan tradisi terus subur di jiwa warga kampus.