SUKAN ANTARA JABATAN/PUSAT PENGAJIAN (SUKJAP) USM 2025: ACARA BOLA JARING KEMBALI MERIAHKAN ARENA

PULAU PINANG, 13 Jun 2025 — Acara Bola Jaring sempena Sukan Antara Jabatan/Pusat Pengajian (SUKJAP) Universiti Sains Malaysia (USM) kembali dengan penuh semangat dan keterujaan. Pada tahun ini, pertandingan tersebut dijadualkan berlangsung pada 17 Jun 2025 bertempat di Azman Hashim Sports Arena, USM.
Acara yang dinanti-nantikan ini merupakan salah satu platform penting bagi staf wanita USM untuk bersaing secara sihat di samping memperkukuh jalinan silaturahim antara jabatan dan pusat pengajian. Lebih menarik, pertandingan ini turut menjadi medan untuk mengetengahkan bakat-bakat sukan di kalangan staf universiti.
SUKJAP tahun ini menyasarkan penyertaan yang lebih meluas, sekali gus memberi peluang kepada semua jabatan dan pusat pengajian untuk menunjukkan keupayaan masing-masing dalam arena bola jaring.
Selain membawa elemen kesukanan, pertandingan ini juga bertujuan untuk meningkatkan kecergasan fizikal dan mental warga kerja USM, serta memupuk nilai profesionalisme dalam berpasukan.
Menurut wakil penganjur dari Kelab Sukan Staf USM (KSS USM), pertandingan bola jaring ini dijangka mendapat sambutan hangat berikutan kejayaan penganjuran acara-acara sebelum ini yang sentiasa berlangsung dalam suasana meriah dan penuh semangat kesukanan.
Semua warga USM dijemput hadir memberi sokongan kepada pasukan masing-masing pada 17 Jun 2025 nanti dan sama-sama menyemarakkan lagi suasana SUKJAP 2025.
Ayuh warga USM, kita gegarkan Azman Hashim Sports Arena!