Skip to main content

SUKAD USM FASA 1 2026 - LEGASI HEBAT DITERUSKAN SEMANGAT KEBERSAMAAN RAIH KEJAYAAN

USM PULAU PINANG, 18 Januari 2026 – Kejohanan Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Fasa 1 Sidang Akademik 2025/2026 menutup tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Kompleks Sukan Azman Hashim, Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM), meninggalkan detik-detik penuh emosi, semangat juang dan kenangan manis yang akan terpahat dalam ingatan seluruh warga kampus.

May be an image of dais and text that says "adidan 福 ジ"

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menegaskan bahawa SUKAD bukan sekadar medan memburu kejuaraan, sebaliknya merupakan pentas pembinaan sahsiah, jati diri dan semangat kesukanan yang tulen.

“Menang atau kalah bukan ukuran utama. Yang lebih bermakna ialah pengalaman yang diraih, nilai disiplin yang dibina, serta persahabatan yang terjalin sepanjang kejohanan ini berlangsung,” ujar beliau dengan penuh inspirasi ketika majlis penutup dan penyampaian hadiah.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran SUKAD dalam dua fasa memberi dimensi baharu kepada pembangunan sukan di USM, dengan Fasa 1 berjaya dilaksanakan di Kampus Induk manakala Fasa 2 bakal menyusul di Kampus Kesihatan, sekali gus memperluaskan penglibatan warga universiti.

May be an image of one or more people and dais

Pengarah Program, Saudari Nur Anis Arissa Mat Nasir pula menyifatkan SUKAD sebagai platform terbaik dalam menyatukan mahasiswa pelbagai latar belakang melalui semangat kesukanan, kerjasama dan rasa kebersamaan.

“Saya berharap SUKAD kali ini bukan sahaja mencipta juara di gelanggang, tetapi turut melahirkan mahasiswa berjiwa besar, berdaya saing dan saling menghormati. Semoga semangat ini terus menyala dalam SUKAD Fasa 2 nanti,” katanya.

Kejohanan ini diselaraskan oleh Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) dengan sokongan Pusat Sukan dan Rekreasi BHEPA USM, Pusat Sejahtera USM serta digerakkan oleh 47 orang sekretariat pelajar yang komited. Hampir 700 peserta melibatkan pelajar prasiswazah, pascasiswazah, staf akademik dan pentadbiran telah memeriahkan kejohanan, menjadikan SUKAD medan perpaduan seluruh warga USM.

Majlis penutup turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi BHEPA USM, Prof. Dr. Hairul Anwar Hashim, Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa USM, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, barisan ahli Majlis Penggawa Desasiswa serta pegawai-pegawai kanan universiti.

May be an image of volleyball, basketball, crowd and text

Dalam usaha memperkukuh agenda kampus inklusif, Pusat Sukan dan Rekreasi USM turut merancang pembukaan ruang penyertaan kepada pelajar kelainan upaya, selaras dengan komitmen universiti terhadap prinsip keterangkuman dan kesejahteraan semua.

Seiring dengan aspirasi H.E.B.A.T. yang menekankan kesihatan, kecergasan dan keseimbangan hidup, pelbagai acara berprestij telah dipertandingkan antaranya Bola Baling, Bola Jaring, Hoki 7 Sebelah, Futsal, Tenis, Catur, Badminton, E-Sukan (MLBB) dan Petanque.

SUKAD Fasa 1 bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi simbol kebangkitan semangat, kesatuan warga kampus dan tekad USM dalam melahirkan generasi mahasiswa yang cemerlang dari segi fizikal, mental dan sahsiah. Api perjuangan ini akan terus menyala, menanti sambungan hebat dalam SUKAD Fasa 2 nanti.