SUKAD FASA 1 BERMULA: ATLET DESASISWA USM PAMER KEHEBATAN!

USM PULAU PINANG, 16 Januari 2026 – Sukan Antara Desasiswa (SUKAD) Universiti Sains Malaysia (USM) Fasa 1 membuka tirainya dengan penuh semangat di Kompleks Sukan Azman Hashim, Kampus Induk USM, sekali gus menjadi simbol kebangkitan atlet desasiswa serta penyatuan warga kampus melalui medan kesukanan.
SUKAD bukan sekadar sebuah kejohanan, malah berperanan sebagai platform penting dalam menggalakkan amalan gaya hidup sihat, memupuk semangat perpaduan, mengasah nilai kepimpinan, membina kerja berpasukan serta memperkukuh jalinan ukhuwah dalam kalangan penghuni desasiswa.
Penganjuran kejohanan ini dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi BHEPA USM serta sokongan Pusat Sejahtera USM, dan digerakkan oleh seramai 48 orang sekretariat pelajar yang terdiri daripada 15 lelaki dan 33 perempuan.
Komitmen tinggi pasukan sekretariat ini menjadi tulang belakang kepada kelancaran penganjuran yang melibatkan kira-kira 700 orang atlet mahasiswa USM.
Pembukaan rasmi SUKAD Fasa 1 yang berlangsung petang tadi menyaksikan perlawanan sulung acara bola tampar lelaki dan wanita, sekali gus mencetuskan suasana meriah, sorakan padu dan semangat juang tinggi dalam kalangan atlet serta penyokong. Kejohanan ini akan berlangsung selama tiga hari dan mempertandingkan pelbagai acara antaranya Bola Baling, Bola Jaring, Hoki 7 Sebelah, Futsal, Tenis, Catur, Badminton, E-Sukan (MLBB) dan Petanque.
Selari dengan aspirasi H.E.B.A.T., penganjuran SUKAD bertujuan melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi fizikal, mental dan emosi, di samping membina daya tahan, disiplin serta semangat persaingan yang sihat dalam suasana harmoni dan berintegriti.

Menurut Pengerusi SUKAD Fasa 1, Nur Anis Arissa Binti Mat Nasir, SUKAD merupakan lambang kesatuan dan kebangkitan warga desasiswa dalam mengangkat martabat sukan universiti.
“SUKAD adalah medan untuk kita membuktikan bahawa mahasiswa USM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah gagah dari segi fizikal, kuat dari segi mental dan matang dalam kepimpinan. Setiap titik peluh, setiap sorakan dan setiap perjuangan di gelanggang mencerminkan semangat juang yang tinggi serta nilai persaudaraan yang utuh. Saya amat berbangga dengan komitmen para atlet dan dedikasi pasukan sekretariat yang bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Beliau turut berharap agar SUKAD Fasa 1 menjadi pemangkin kepada kebangkitan budaya sukan dalam kalangan warga desasiswa serta terus menyemarakkan semangat kesukanan, perpaduan dan jati diri mahasiswa USM ke tahap yang lebih gemilang.