Skip to main content

SEMANGAT JUANG LUAR BIASA PASUKAN BOLA JARING USM DI VTC UPSI 2025

UPSI, 7 Ogos 2025 – Pasukan Bola Jaring wanita Universiti Sains Malaysia (USM) mempamerkan semangat juang tinggi dalam dua perlawanan sengit sempena Varsity Team Championship (VTC) 2025 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), walaupun terpaksa akur dengan kekalahan tipis kepada dua pasukan lawan.

Dalam Perlawanan 3 yang berlangsung pada jam 10.30 pagi, pasukan USM berdepan cabaran sukar menentang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Walaupun cuba bangkit pada suku kedua dan ketiga, permainan berakhir dengan kemenangan memihak kepada IIUM dengan skor 13 – 9.

Sementara itu, pada sebelah petang jam 3.00 petang, pasukan USM sekali lagi turun ke gelanggang untuk Pusingan 2 menentang pasukan Politeknik. Perlawanan berlangsung dalam suasana penuh mendebarkan dan menyaksikan aksi serangan balas yang pantas dari kedua-dua pasukan. Namun, nasib tidak menyebelahi USM apabila mereka tewas tipis dengan keputusan 23 – 22.

Walaupun keputusan tidak memihak kepada USM kali ini, pengalaman beraksi di pentas kejohanan peringkat kebangsaan ini menjadi medan penting buat pembangunan dan pendedahan atlet muda, terutamanya dalam sukan bola jaring.

#USMBoleh #TeamUSM #VTC2025 #NetballUSM

BHEPA USM