Skip to main content

SATU SEMANGAT – SUKJAP USM 2025 LEDAK ADRENALIN LUAR BIASA DAN UKHWAH TANPA BATAS

SPICE ARENA, 10 Ogos 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi bergema dengan sorakan semangat apabila Sukan Antara Kampus 4 Penjuru (SUKJAP) 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni, memperlihatkan bahawa sukan bukan sekadar medan pertandingan, tetapi satu wadah membina ukhwah, menyemarakkan kesihatan dan mengukuhkan semangat kebersamaan warga USM.

Melibatkan Kampus Induk, Kampus Kesihatan, Kampus Kejuruteraan dan gabungan IPPT/PPUSMB, kejohanan kali ini memperlihatkan persaingan sihat dalam pelbagai acara – daripada futsal, bola tampar, badminton, sepaktakraw, pingpong, bola jaring hingga ke sukan petanque. Setiap acara menjadi pentas mempertontonkan kemahiran, strategi, dan ketahanan fizikal, sambil mengalirkan rasa hormat dan penghargaan antara atlet.

Mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Azlan Amran dalam ucapan penutupnya menegaskan bahawa kejohanan ini adalah lambang kekuatan hubungan antara kampus.

“Kita bukan sekadar meraikan kemenangan, tetapi meraikan persahabatan yang terbina, stamina yang diperkasa, dan semangat berpasukan yang luar biasa,” ujar beliau sambil mendapat tepukan gemuruh daripada warga hebat USM.

Kampus Induk memperlihatkan taringnya dalam beberapa acara utama, termasuk Sepak takraw yang dibarisi pemain berpengalaman di peringkat kebangsaan, manakala USM Kampus Kesihatan menampilkan kelebihan fizikal dan kecergasan dalam bola jaring serta mendominasi acara berpasukan seperti futsal lelaki dan wanita. USM Kampus Kejuruteraan pula menyerlah dengan kejayaan berganda dalam petanque dan mempertahankan reputasi mereka dalam sukan yang memerlukan ketelitian tinggi.

Warga Staf USM ternyata amat hebat dalam apa jua sukan yang dipertandingkan dan berjaya membuktikan dengan semua acara yang disertai mendapat sokongan dan dorongan kuat daripada Pengurusan Tertinggi USM dan menjadikan USM sebagai rujukan dalam pemganjuran sukan dan juga amat hebat dalam semua temasya yang disertai warga USM.

Di luar arena gelanggang, suasana kekeluargaan jelas terasa – atlet dan pegawai saling bertukar senyuman, memberi sokongan moral dan berkongsi pengalaman tanpa mengira latar belakang kampus. Kehadiran penyokong setia menambahkan lagi seri kejohanan, membuktikan bahawa sukan menjadi jambatan penyatu warga USM.

SUKJAP 4 Penjuru 2025 menutup tirainya dengan penyampaian hadiah yang berlangsung meriah, diiringi laungan semangat dan ucapan tahniah antara satu sama lain. Lebih daripada sekadar rekod kemenangan, kejohanan ini meninggalkan kenangan manis dan semangat kekitaan yang akan terus subur di hati setiap peserta.

“Kalah atau menang itu adat, yang penting kita menang dalam membina ukhwah dan kesihatan bersama,” demikian ungkapan yang menjadi simbol kejayaan SUKJAP 4 Penjuru USM tahun ini.