Skip to main content

REGU OTAI MASIH BERBISA TARUHAN SEPAKTAKRAW USM

May be an image of 7 people, people playing football, people playing volleyball and people playing basketball

Pasukan Sepaktakraw Antara Regu USM menutup perjuangan di pentas SUKANUN 2025 selepas tewas kepada KADA dan PPUM dalam saingan kumpulan. Walaupun perjalanan kali ini terhenti lebih awal, keazaman dan semangat juang warga USM tetap terpancar di gelanggang.

USM bukan nama asing dalam dunia sepaktakraw apabila pernah meraih pingat gangsa pada temasya SUKANUN yang lalu. Lebih membanggakan, regu USM masih teguh berjuang dengan kekuatan gandingan pemain otai yang sudah hampir dua dekad menabur keringat buat universiti tercinta.

Pengurusan tertinggi USM terus memberikan kepercayaan kepada para pemain lama yang sarat dengan pengalaman, kerana mereka bukan sahaja membawa kehebatan di gelanggang, malah berperanan besar dalam melestarikan sukan warisan bangsa ini di peringkat universiti.

Lebih istimewa, regu USM diperkuatkan oleh bekas pelibas negara, Shahril Abd Sukor dan Noor Ariffin Pawanteh, yang masih mampu menyaingi regu muda dengan aksi penuh semangat dan ketenangan. Kehadiran mereka menjadi inspirasi buat barisan pemain lain serta membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus memberi sumbangan di medan sukan.

Walaupun perjalanan kali ini belum membuahkan kejayaan, USM tetap optimis dengan masa depan sepaktakraw universiti. Kehadiran beberapa muka baharu yang menyertai USM pada tahun 2025 diyakini mampu menyuntik nafas segar serta menjadi pelapis berkualiti tinggi untuk mengembalikan kegemilangan skuad sepaktakraw.

Dengan semangat juang yang tidak pernah luntur dan sokongan padu seluruh warga universiti, Sepaktakraw USM diyakini akan bangkit semula sebagai pencabar utama di pentas SUKANUN akan datang.