Skip to main content

PINGAT GANGSA KEM OLAHRAGA USM DI VARSITY TRACK & FIELD SERIES 2

Terengganu, 29 Jun 2025 – Kem olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) terus menampilkan prestasi membanggakan di kejohanan Varsity Track & Field (VTF) Series 2 yang berlangsung di Stadium UniSZA, Kuala Terengganu apabila berjaya membawa pulang tiga pingat gangsa menerusi beberapa acara tumpuan.

Antara atlet yang cemerlang ialah Muhammad Aqil Hadif Zahari dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia tahun 4, yang berjaya menaiki podium dengan meraih pingat gangsa dalam acara 10,000 meter Jalan Kaki Lelaki. Aksi bertenaga dan disiplin tinggi Aqil di trek jelas membuahkan hasil apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga, sekali gus memastikan kutipan pingat pertama kem olahraga USM dalam acara jarak jauh tersebut.

Sementara itu, dalam acara 4x400 meter Wanita, kuartet USM yang dibarisi oleh Ong Yong Hui, Syasya Mastunina Sawani Morshidi, Amrithaa Poovendren dan Rina Regina Abu Hanafah turut menyumbang pingat gangsa. Keempat-empat pelari wanita ini memperagakan larian konsisten dan semangat berpasukan yang tinggi, terutamanya di pusingan terakhir apabila Rina Regina berjaya mengekalkan kedudukan podium untuk USM.

Sementara itu, dalam acara jarak jauh 5000m Wanita, Amrithaa Poovendren, pelajar tahun 1 Pusat Pengajian Pengurusan, menampilkan larian konsisten dan strategi bijak untuk memastikan satu lagi gangsa menjadi milik USM.

Turut mencuri perhatian ialah Ong Yong Hui, mahasiswa tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, turut berjaya ke podium dalam acara 100 meter Lompat Berpagar Wanita. Yong Hui mempamerkan larian berteknik dan bertenaga, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai atlet wanita serba boleh USM dalam acara pecut dan berhalangan.

Jurulatih olahraga USM, Encik Mohd Firdouz Mazlan, menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti bahawa kerja keras, disiplin dan semangat berpasukan sentiasa membuahkan hasil. Beliau turut memuji ketekunan setiap atlet yang berjaya melepasi tekanan kejohanan di peringkat nasional.

“Saya amat bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan atlet-atlet kita. Walaupun berdepan dengan persaingan sengit daripada universiti-universiti ternama, mereka membuktikan bahawa dengan latihan konsisten, disiplin tinggi dan semangat tidak pernah mengalah, kejayaan pasti hadir. Ini baru permulaan. Saya yakin, kejayaan yang lebih besar sedang menanti mereka di hadapan. Teruskan berjuang demi maruah USM dan keluarga olahraga kita!”

Encik Firdouz turut menyeru atlet USM yang lain untuk menjadikan pencapaian ini sebagai inspirasi dan motivasi, membina keyakinan serta terus melangkah lebih jauh dalam kejohanan-kejohanan akan datang.