Skip to main content

PETANQUE SUKJAP USM 2025: PANAS BUKAN HALANGAN, STAF USM KEKAL BERAKSI MANTAP!

May be an image of 12 people

 

USM, 11 Jun 2025 — Bahang matahari yang membakar kulit bukan penghalang buat staf Universiti Sains Malaysia (USM) untuk terus berjuang penuh semangat di gelanggang Petanque sempena Sukan Antara Jabatan (SUKJAP) USM 2025!Seawal jam 8.00 pagi, gelanggang Petanque USM dipenuhi peserta dengan wajah ceria, bersedia mencabar lawan masing-masing. Walaupun suhu mencecah 34°C, tiada siapa yang mahu mengalah. Setiap lontaran boule disambut dengan sorakan dan tepukan daripada rakan sepasukan, menjadikan suasana bertambah meriah.

Pertandingan yang membabitkan 10 Zon pasukan ini menyaksikan pelbagai aksi menarik, strategi taktikal bijak dan lontaran tepat yang memukau. Pasukan-pasukan terdiri dari semua 10 zon tampil garang, mempamerkan aksi luar biasa hingga berjaya menawan hati penonton yang hadir.Lebih daripada sekadar pertandingan, acara ini menjadi platform terbaik untuk staf berkenalan, berinteraksi dan beriadah bersama rakan-rakan dari pelbagai jabatan. Gelak ketawa, usikan mesra dan semangat sepasukan jelas terpancar sepanjang hari, membuktikan betapa sukan mampu menyatukan hati warga kampus.

SUKJAP USM 2025 terus menjadi medan utama menyemarakkan gaya hidup sihat dalam kalangan staf melalui aktiviti sukan, di samping membuka ruang untuk berkenalan, bertukar idea dan membina hubungan kerja yang lebih erat di luar suasana formal.

“Inilah kelebihan SUKJAP. Selain mencungkil bakat, ia juga wadah menyihatkan tubuh, menceriakan jiwa dan membuka minda melalui interaksi yang sihat dan santai antara staf,” ujar Marziana Alias atlet Petanque Wanita Zon 7 yang teruja melihat sambutan luar biasa daripada peserta.

Lebih membanggakan, peserta terus kekal bertenaga walaupun terik matahari membahang. Disediakan khemah rehat, minuman sejuk dan sorakan padu daripada penyokong — semuanya menambahkan aura positif di gelanggang.Setiap lontaran boule adalah lambang semangat, kekuatan mental dan kesungguhan staf untuk terus kekal aktif, sihat dan berdaya saing.

SUKJAP bukan sahaja tentang kemenangan, tetapi tentang kenangan, persahabatan dan semangat kekitaan yang dibina melalui sukan.