PERSEDIAAN PSIKOLOGI : SENJATA RAHSIA USMKK FC HADAPI PERLAWANAN GETIR

Kota Bharu, 14 Julai 2025 — Dalam arena sukan yang semakin mencabar, kekuatan fizikal sahaja tidak memadai untuk menjamin kemenangan. Kesediaan mental dan kawalan emosi menjadi kunci utama buat pasukan bola sepak Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK FC) dalam mengharungi perlawanan-perlawanan getir, khususnya apabila berdepan situasi tekanan tinggi.
Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan & Rekreasi USM, tampil memainkan peranan penting apabila berkongsi ilmu dan teknik persediaan psikologi kepada barisan pemain dan pegawai pasukan. Sesi ini bukan sekadar motivasi biasa, sebaliknya menekankan aspek pengurusan tekanan, tumpuan ketika permainan, pengendalian emosi serta teknik visualisasi kemenangan.

“Psikologi sukan bukan sekadar membantu pemain tenang di padang, tapi membentuk mental juara yang mampu berdepan apa jua cabaran. Pemain perlu tahu bagaimana untuk mengawal diri ketika permainan di saat genting, kekal fokus, serta pantas bangkit sekiranya tertekan,” jelas Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim
Menurut beliau, selain aspek taktikal dan kecergasan fizikal, ketahanan mental pemain menjadi faktor penentu ketika bertembung dengan pasukan lawan yang hebat dan situasi perlawanan yang sukar dijangka. Malah, perlawanan yang sengit seringkali dimenangi oleh pasukan yang lebih bersedia dari segi psikologi berbanding fizikal semata-mata.
USMKK FC telah mengambil inisiatif awal dengan memastikan setiap pemain dibekalkan panduan dan teknik seperti pernafasan terkawal, penetapan sasaran peribadi, serta latihan relaksasi sebelum dan selepas perlawanan. Hasilnya, pemain kini lebih yakin, mampu menyesuaikan diri dalam perlawanan berintensiti tinggi, dan sentiasa berfikiran positif dalam apa jua keadaan.

Wakil pasukan USMKK FC turut menyifatkan sesi bersama Prof. Hairul Anuar sebagai pengalaman berharga yang memberikan dimensi baharu terhadap persiapan pasukan.
“Selama ini kami lebih fokus latihan fizikal dan taktikal, tapi sesi psikologi ini membuka mata kami betapa pentingnya ketahanan mental, lebih-lebih lagi bila kita ketinggalan dalam perlawanan atau diasak bertubi-tubi oleh lawan,” ujar beliau.
Pihak pengurusan pasukan merancang untuk meneruskan sesi psikologi secara berkala sebagai sebahagian daripada program pembangunan pemain, selaras dengan hasrat universiti melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang di padang, malah seimbang dari segi fizikal, mental dan sahsiah.
Terima kasih diucapkan kepada Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim atas komitmen dan kesudian mencurahkan ilmu yang amat bermanfaat ini buat pasukan. Sokongan beliau membuktikan bahawa kejayaan pasukan sukan universiti tidak hanya bergantung kepada kekuatan fizikal dan taktikal, tetapi juga kestabilan mental yang mantap.