PENCAPAIAN PINGAT ACARA SUKAN WARNAI PENYERTAAN KONTINGEN SUKAN PADA KARNIVAL IMT-GT KE-25 DI UNIVERSITAS NEGERI PADANG

UNP Padang, Indonesia, 27 Ogos 2026 :- Acara berprestij peringkat antarabangsa Karnival IMT-GT Ke-25 yang berlangsung di Universiti Negeri Padang (UNP) telah menyaksikan persaingan sengit dalam pelbagai acara sukan.
Kontingen USM berjaya melakar kejayaan membanggakan menerusi kutipan beberapa pingat daripada acara badminton, catur, bola tampar, dan tenis.
Berdasarkan rekod keputusan perlawanan, acara catur menjadi antara penyumbang kejayaan utama apabila berjaya merangkul dua pingat menerusi kategori yang berbeza. Pasukan catur wanita tampil cemerlang dengan menghadiahkan pingat emas, manakala kategori lelaki menyusul dengan kutipan pingat perak.
Pencapaian yang konsisten turut dipamerkan dalam acara badminton yang berjaya membawa pulang tiga pingat sekaligus. Kategori perseorangan lelaki berjaya menyumbangkan pingat perak, kategori perseorangan wanita dan beregu campuran (mix double) berjaya mendapat pingat gangsa.
Selain itu, satu lagi pungutan pingat turut disumbangkan oleh skuad bola tampar wanita yang berjaya meraih pingat gangsa selepas mengharungi perlawanan yang sengit.
Menutup senarai kutipan pingat, menerusi acara tenis kategori beregu campuran (mix double) turut menyumbangkan pingat gangsa buat kontinjen.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menzahirkan perasaan bangga atas aksi cemerlang dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua atlet USM di sepanjang kejohanan berlangsung.
“Syabas dan tahniah kepada para atlet, kejayaan membawa pulang pingat emas, perak, dan gangsa ini adalah bukti usaha keras, disiplin, dan dedikasi yang luar biasa di bumi Padang,” ujarnya.
Kejayaan cemerlang USM di Universiti Negeri Padang ini bukan sahaja membuktikan ketahanan mental dan fizikal para atlet, malah mengeratkan lagi semangat perpaduan dan ukhuwah dalam kalangan peserta daripada tiga negara serumpun bersempena Karnival IMT-GT Ke-25.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA