PASUKAN USM TERUS BERJUANG DI VARSITY RACKET CHAMPIONSHIP UM 2025

KUALA LUMPUR, 7 November 2025 – Kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan cabaran di Varsity Raket Championship 2025 yang berlangsung di Universiti Malaya (UM) dengan semangat kesukanan yang tinggi walaupun berdepan saingan sengit daripada universiti-universiti lain seluruh negara.
Dalam acara badminton, dua wakil USM berjaya mara ke peringkat suku akhir — Shau Heng bagi kategori perseorangan lelaki (MS) dan Asyhimie bagi kategori perseorangan wanita (WS) yang dijadualkan berlangsung pada jam 9.35 pagi dan 10.10 pagi.
Bagi acara tenis, pasukan USM terpaksa akur selepas tersingkir di pusingan awal, manakala ping pong akan meneruskan saingan esok dalam acara beregu campuran pada jam 9.40 pagi selepas acara-acara lain berakhir di pusingan awal.
Dalam acara skuasy, hanya kategori perseorangan lelaki masih bersaing untuk penentuan kedudukan. Tiga pemain USM — Shiva, Kuhan dan Thiva — akan beraksi dalam perlawanan penentuan tempat masing-masing dengan jadual berikut:
- Shiva (21–24 placing) – 10.30 pagi
- Kuhan (9–12 placing) – 12.30 tengah hari
- Thiva (13–14 placing) – 2.30 petang
Ketua Sekretariat USM, Mustaffa Kamal Esa, menyatakan penghargaan kepada semua atlet atas semangat juang dan disiplin tinggi sepanjang kejohanan.
“Walaupun ada yang terhenti di pusingan awal, semangat dan kesungguhan mereka tetap membanggakan. Setiap perlawanan memberi pengalaman berharga untuk memperkukuh persediaan ke kejohanan akan datang. Teruskan berjuang dengan jiwa besar dan semangat kenegaraan USM — We Lead!,” ujar beliau.
Pasukan USM dijangka menamatkan kempen Varsity Raket Championship 2025 dengan semangat yang tetap membara, membawa nama universiti dengan penuh kebanggaan di arena sukan universiti Malaysia.