PASUKAN PENYELAMAT KELEMASAN & RENANG USM SERTAI KEJOHANAN DI SINGAPURA

PULAU PINANG, 26 Jun 2025 — Pasukan Penyelamat Kelemasan & Renang Universiti Sains Malaysia (USM) bakal berlepas ke Singapura bagi menyertai Kejohanan NUS Invitational Lifesaving Championship 2025 yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Jun 2025 di National University of Singapore (NUS).
Kejohanan tahunan ini menghimpunkan pasukan penyelamat kelemasan dari institusi pengajian tinggi serantau, bertujuan menguji kecekapan serta ketahanan fizikal dan mental atlet dalam situasi penyelamatan kecemasan di kolam renang. Pasukan USM yang terdiri daripada 14 atlet dan 1 pegawai pengiring akan mempertaruhkan aksi dalam beberapa kategori acara termasuk Manikin Tow, Line Throw dan Rescue Medley
Pegawai Pengiring USM, Cik Yusbita Dato Haji Yaacob ketika dihubungi berkata, pasukan kali ini tampil dengan gabungan atlet senior berpengalaman dan muka baharu yang memiliki potensi besar untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.
“Penyertaan ini bukan sahaja sebagai medan persaingan, tetapi lebih penting sebagai platform menilai kecekapan anggota penyelamat USM dalam menghadapi cabaran sebenar situasi kecemasan di dalam air. Saya percaya atlet kita mampu memberikan saingan kompetitif dan memperoleh pengalaman berharga untuk dibawa pulang ke USM,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, USM sentiasa menyokong penglibatan aktif pelajarnya dalam kejohanan berprestij seperti ini bagi membina keyakinan diri, kemahiran teknikal serta kerjasama berpasukan yang mantap.
Selamat berjuang buat pasukan USM!
Bawa pulang pengalaman, ilmu dan semangat USM yang unggul.