MISI KEJUARAAN LIGA A2 AFL 2026 - USM FC BAWA NAMA PULAU PINANG

Pulau Pinang kini meletakkan harapan tinggi kepada pasukan USM FC yang bakal beraksi di perlawanan akhir A2 AFL 2025/2026. Kehadiran Exco Belia, Sukan & Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YB Daniel Gooi serta Pengurus Besar Penang FC, En Jeffrey Chew dalam sesi latihan di Stadium USM menyuntik semangat luar biasa kepada para pemain.
Presiden USM FC merangkap Presiden FAP, En Mohd Azizudin Mohd Shariff menegaskan bahawa kejayaan USM FC mara ke final adalah hasil usaha pengurusan dan pemain sendiri, serta sokongan pembangunan bola sepak oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
YB Daniel Gooi turut menyeru pemain agar beraksi dengan penuh disiplin, semangat kesukanan dan keazaman tinggi demi membawa pulang Piala Kejuaraan A2 AFL ke bumi Pulau Pinang.
Sebagai simbol sokongan padu, penyerahan bendera negeri dan jersi menjadi penutup pertemuan, menandakan satu misi besar!
USM FC turun ke final dengan satu matlamat – menjulang piala dan mengharumkan nama Pulau Pinang serta Universiti Sains Malaysia