Skip to main content

MINDEN TIGER USM SEDIA MENGAUM DI ARAU!

 

Arau, Perlis — Detik yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba! Pasukan bola sepak Minden Tiger USM kini bersiap sedia untuk mengaum di pentas Liga Bola Sepak IPT Divisyen 2 2025 yang bakal membuka tirai pada 14 hingga 20 Jun ini di UITM Arau, Perlis. Dengan semangat juang membara dan disiplin taktikal yang kian padu, skuad dari Universiti Sains Malaysia ini hadir membawa misi besar: menjulang nama USM di persada bola sepak IPT!

Motivasi yang Tinggi di Kem USM

Pasukan Minden Tiger USM sebelum ini mempamerkan prestasi yang baik dalam beberapa perlawanan ujian dan skuad kendalian jurulatih Thevandran Pitchay dilihat mempunyai motivasi yang tinggi pada saingan kali ini.

Menurut Pengurus Pasukan, Syed Mohd Fairuz, skuad ini telah menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan sepanjang Mei lalu dan menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek koordinasi dan disiplin bertahan.

“Kami lebih bersedia dari segi fizikal dan mental. Objektif utama kami ialah untuk menampilkan permainan bermutu dan cuba menempatkan diri dalam kelompok terbaik kejohanan kali ini,” ujar Syed Fairuz.

Taktikal & Gaya Permainan

Thevandran dijangka mempertaruhkan formasi yang menumpukan kepada kawalan tengah padang dan serangan balas pantas. Barisan serangan akan dimanfaatkan dengan kelajuan di bahagian sayap sementara pemain tengah bertindak sebagai pengatur tempo permainan.

Selain itu, set-piece situation seperti sepakan sudut dan sepakan percuma turut menjadi fokus utama dalam sesi latihan — memandangkan peluang seperti ini sering menjadi pemecah kebuntuan dalam perlawanan kompetitif.

Namun, dengan disiplin taktikal yang diterapkan serta semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain, Minden Tiger dilihat mampu mencipta kejutan dan memberi saingan sengit di pentas kebangsaan ini.

Syed Mohd Fairuz turut menyuarakan harapan agar seluruh warga kampus USM dan alumni dapat memberikan sokongan padu kepada pasukan sepanjang kejohanan berlangsung.

“Doakan kejayaan kami, dan semoga pasukan ini mampu membawa pulang sesuatu buat universiti tercinta.”