MAJLIS PENYERAHAN BENDERA KONTINJEN USM KE IMT-GT VARSITY CARNIVAL 2025

USM, PULAU PINANG, 24 Oktober 2025 – Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Universiti Sains Malaysia sempena penyertaan ke IMT-GT Varsity Carnival kali ke-24 yang bakal berlangsung di Thaksin University, Thailand dari 27 Oktober hingga 1 November 2025 telah diadakan dengan jayanya di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA pagi tadi.
Majlis ini diadakan bagi memberi semangat dan penghargaan kepada 91 peserta yang terdiri daripada 38 atlet melibatkan enam acara iaitu bola sepak, bola tampar wanita, badminton, tenis, pétanque dan bola keranjang 3x3, 20 peserta kebudayaan, tiga wakil seminar akademik serta 30 orang staf yang merangkumi Pegawai Pengiring, Pegawai Fisioterapi dan pemandu.
Hadir merasmikan majlis ialah Encik Hafiz Assad Zakaria, Timbalan Pendaftar Kanan merangkap Ketua Kontinjen USM bersama-sama Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

Dalam ucapannya, Encik Hafiz menyuntik semangat kepada semua ahli kontinjen agar memberikan yang terbaik sebagai wakil Universiti Sains Malaysia yang membawa nama dan maruah universiti ke pentas antarabangsa.
“Ingatlah, penyertaan kita bukan sekadar untuk mencari kemenangan, tetapi untuk menghayati semangat kesukanan, memperkukuh jaringan persahabatan, dan mengangkat nilai kerjasama serantau ASEAN seperti tema IMT-GT tahun ini ‘Diving Glocal Citizen’,” tambah beliau.
Penyertaan USM dalam IMT-GT Varsity Carnival ini turut mencerminkan komitmen universiti terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 17: Perkongsian untuk Matlamat, melalui usaha memperkukuh kolaborasi serantau dan memperluas jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi di negara-negara IMT-GT.
Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan pertukaran ilmu dan budaya, tetapi juga mengukuhkan peranan universiti sebagai jambatan kerjasama global yang menyumbang kepada pembangunan lestari.
Seluruh warga kampus mengucapkan selamat maju jaya kepada semua ahli kontinjen USM. Semoga kejayaan yang diraih dan semangat kesukanan yang ditonjolkan terus mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa.
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA