MAJLIS ANUGERAH SUKAN USM KALI KE 44, RAIKAN KECEMERLANGAN ATLET USM DAN WARGA SUKAN MASYURKAN NAMA UNIVERSITI



PULAU PINANG, 25 Jun 2025 — Eastin Hotel Pulau Pinang bergema dengan tepukan gemuruh dan suasana penuh meriah apabila Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan Majlis Anugerah Sukan USM Kali Ke-44, sebuah majlis tahunan berprestij yang memberi pengiktirafan kepada para atlet, jurulatih, pegawai pasukan dan warga sukan universiti yang telah mengharumkan nama USM di persada sukan.
Disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, majlis ini menyaksikan pelbagai anugerah disampaikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan, usaha dan pengorbanan individu serta pasukan sepanjang tahun.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa bangga dan penghargaan terhadap semangat juang atlet USM serta seluruh warga sukan kampus.
"Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada mereka yang berjaya meraih kejuaraan, tetapi juga kepada semua yang telah mencurahkan tenaga, masa dan usaha membina legasi kecemerlangan sukan USM. Kita raikan semangat kesukanan, nilai persahabatan dan budaya kecemerlangan yang menjadi teras universiti ini,” jelas beliau.
Sebagai simbolik komitmen universiti terhadap pembangunan sukan kampus, beliau turut melancarkan logo rasmi Anugerah Sukan USM, yang mencerminkan semangat dinamik, sinergi dan aspirasi seluruh warga USM.
ANUGERAH UTAMA JADI TUMPUAN
Antara anugerah paling dinanti ialah Olahragawan dan Olahragawati USM 2025, yang masing-masing disandang oleh Amir Daniel atlet Judo dan Noor Aishah Iskandar atlet bola tampar pantai, hasil pencapaian cemerlang mereka sepanjang musim. Sukan Hoki mendominasi Anugerah Bintang Harapan Lelaki dan Wanita apabila Mohd Syahrul Ikram dan Saudari Khairunnisa Mohd Zanili turut diumumkan, membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk terus menyerlah.
Dalam kategori pasukan, Pasukan Petanque Lelaki Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik 6 orang atau kurang, diikuti Pasukan Bola Tampar Pantai Wanita sebagai Pasukan Wanita Terbaik 6 orang atau kurang. Pasukan Hoki Lelaki USM pula mengungguli Anugerah Pasukan Lelaki Kategori 7 orang dan lebih, hasil kecekalan dan semangat berpasukan yang luar biasa.
PENGIKTIRAFAN BUAT WARGA SUKAN
Majlis kali ini turut memberi perhatian kepada individu di sebalik tabir kejayaan penganjuran acara sukan USM. Anugerah Khidmat Cemerlang Pelajar dalam Pengurusan Acara Sukan telah disampaikan kepada pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi serta kepimpinan cemerlang dalam memastikan kelancaran program-program sukan universiti.
Tidak dilupakan, Anugerah Sanjungan Budi diberikan kepada staf USM yang telah bersara, sebagai penghargaan atas dedikasi dan jasa mereka dalam memartabatkan sukan kampus sepanjang perkhidmatan.
Anugerah Warna Unggu dinobatkan kepada atlet memanah negara Saudari Kayalvhilly, adalah satu pengiktirafan tertinggi kepada atlet yang pernah mewakili universiti dalam kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, turut menjadi antara anugerah berprestij yang menyerikan majlis.
SOKONGAN HEBAT PENAJA
Majlis gilang-gemilang ini turut tidak akan lengkap tanpa sokongan padu daripada rakan penaja. Tahun ini, Nestlé (Malaysia) Berhad tampil sebagai penaja utama, memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan penganjuran majlis berprestij ini.
Profesor Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasii USM turut merakamkan penghargaan kepada Nestlé atas komitmen berterusan menyokong pembangunan sukan di peringkat kampus.
“Sokongan padu daripada penaja seperti Nestlé membuktikan bahawa kejayaan dalam bidang sukan memerlukan jaringan kerjasama erat antara universiti dan sektor korporat. Ini satu contoh sinergi yang wajar dicontohi,” katanya.
KOMITMEN UNIVERISTI PERKASA INSFRASTRUKTUR UNIVERSITI
Dalam pada itu, majlis turut dimaklumkan tentang komitmen Pengurusan Tertinggi USM untuk terus memperkasa ekosistem sukan kampus melalui penaiktarafan kemudahan dan prasarana sukan universiti. Langkah ini diharap bakal memberikan suntikan semangat baharu kepada atlet dan pasukan USM, sekali gus mengukuhkan kembali kedudukan USM sebagai pencabar podium kejuaraan dalam kejohanan sukan antara universiti.
“Penaiktarafan ini merupakan satu pelaburan jangka panjang untuk membina legasi kecemerlangan sukan USM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada atlet sedia ada, malah kepada generasi atlet kampus akan datang,” ujar Naib Canselor.
CERMINAN BUDAYA KECEMERLANGAN SUKAN SEIRING PENCAPAIAN AKADEMIK.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan meraikan kejayaan atlet dan warga sukan, malah menjadi wadah membudayakan kecemerlangan dalam kalangan mahasiswa USM, merangkumi aspek akademik, kokurikulum dan kepimpinan pelajar.
Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah, warga sukan dan penyumbang setia yang terus mewarnai arena sukan USM dengan pencapaian gemilang dan semangat kesukanan seiiring pencapaian akademik.
Anugerah Unggu - KayalVhily - Memanah
Olahragawan - Amir Daniel Mohd Majeed - Judo
Olahragawati - Noor Aishah Iskandar - Bolatampar Pantai
Bintang Harapan Lelaki - Mohamad Syahrul Ikram Mohd Razali - Hoki
Bintang Harapan Wanita -Khairunnisa Mohd Zanili - Hoki
Pasukan Lelaki Terbaik 6 orang atau kurang - Petanque USM
Pasukan Wanita Terbaik 6 orang atau kurang - Bolatampar Pantai USM
Pasukan Lelaki Terbaik 7 orang dan lebih - Hoki USM