LAWATAN TAPAK DELEGASI PDRM SEMPENA TEMASYA SUKAN PIALA KETUA POLIS NEGARA 2026

7 Februari 2026 – Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima lawatan rasmi delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai oleh YDH CP Dato’ Sri Abdul Aziz bin Abd Majid, Pengarah Pengurusan PDRM (Bukit Aman), bersama YDH CP Dato’ Ts. Azizee bin Ismail, Ketua Polis Pulau Pinang.
Lawatan tapak ini bertujuan untuk menilai kemudahan sukan, logistik penganjuran, aliran pergerakan atlet dan pegawai, serta tahap kesiapsiagaan fasiliti di bawah pengurusan Pusat Sukan dan Rekreasi USM sebagai lokasi penganjuran Sukan Piala Ketua Polis Negara 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2026.

Sepanjang lawatan, pihak Pusat Sukan dan Rekreasi USM telah memainkan peranan utama dalam penyelarasan jadual tinjauan, pembentangan fungsi fasiliti, pengurusan venue sukan, serta memastikan kelancaran penganjuran kejohanan berskala nasional. Seramai 40 orang delegasi PDRM telah terlibat dalam sesi lawatan ini.
Selain itu, kerjasama erat antara Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Jabatan Keselamatan USM dan agensi berkaitan telah memastikan aspek kawalan keselamatan, pengiring delegasi dan pengurusan lalu lintas dilaksanakan dengan teratur dan lancar, sekali gus memperlihatkan keupayaan Pusat Sukan USM sebagai rakan strategik dalam penganjuran acara sukan berprestij di peringkat kebangsaan.