Skip to main content

LANGKAH TERHENTI, SEMANGAT TIDAK MATI - DART USM BERUPAYA DOMINASI.

May be an image of 10 people

UITM Seri Iskandar, 11 September 2025 – Pasukan dart berpasukan USM melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali tampil di pentas SUKANUN 2025, kejohanan sukan terbesar peringkat universiti awam dan agensi kerajaan.

Walaupun julung kali menyertai acara ini, pasukan dart USM tidak gentar untuk memberikan saingan. Aksi cemerlang terserlah sejak perlawanan pembukaan apabila USM mencatat kemenangan ke atas Perbadanan Putrajaya, sebelum meneruskan perjuangan menentang Perbadanan Labuan dan mara ke pusingan kalah mati sebagai Naib Juara Kumpulan.

Di pusingan kedua, USM berdepan cabaran hebat menentang LHDNM. Pertarungan penuh dramatik berakhir dengan keputusan kalah 6-3, namun prestasi dan semangat juang pasukan ini cukup membanggakan.

Lebih penting, penyertaan sulung ini bukan sahaja menjadi medan pengalaman berharga, malah membuktikan bahawa USM kini muncul pencabar baharu yang bakal digeruni pada edisi akan datang.

Kejayaan mara sehingga pusingan kedua adalah jelas bahawa kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan universiti kepada skuad Dart tidak sia-sia. Dengan semangat sepasukan dan komitmen tinggi, pasukan Dart USM diyakini mampu mengorak langkah lebih jauh pada masa depan.

"Ini baru permulaan. USM sudah membuktikan kami mampu bersaing. InsyaAllah, kami akan kembali lebih kuat," ujar salah seorang wakil pasukan penuh bersemangat.