KEPENTINGAN NUTRISI MAKANAN DALAM PEMBANGUNAN ATLET

20 Disember 2025 MSN Pulau Pinang - Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) bagi tahun 2025 terus komited dalam melahirkan jurulatih dan pelatih yang holistik menerusi penganjuran sesi pendidikan berfokuskan aspek sains sukan dan kesejahteraan atlet. Salah satu inisiatif penting yang dilaksanakan ialah sesi pendidikan berkaitan nutrisi makanan (food nutrition) sebagai komponen utama dalam pembangunan prestasi pemain bola sepak.

Sesi pendidikan ini telah diadakan pada 20 Disember 2025 bertempat di Bilik Cemerlang Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, melibatkan jurulatih dan pelatih di bawah seliaan Program Pembangunan Bola Sepak Negara Pulau Pinang. Program ini dianjurkan oleh Unit PPBN, Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Belia dan Sukan (JBS) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengisian utama sesi telah disampaikan oleh Puan Siti Salwa Suhaida Binti Mohamad Ibrahim, Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi, Universiti Sains Malaysia (USM). Dalam pembentangan beliau, Puan Siti Salwa menekankan peranan nutrisi makanan yang seimbang dalam menyokong prestasi latihan, mempercepatkan proses pemulihan, serta mengurangkan risiko kecederaan dalam kalangan atlet muda.
Antara aspek yang diketengahkan termasuk kepentingan pengambilan karbohidrat, protein dan lemak secara seimbang, pemilihan makanan sebelum dan selepas latihan, serta kesedaran terhadap hidrasi dan gaya pemakanan sihat yang konsisten. Penekanan turut diberikan kepada peranan jurulatih dalam membimbing pemain membuat pilihan pemakanan yang betul selaras dengan keperluan latihan dan perlawanan.
Ketua Jurulatih Remaja Negeri Pulau Pinang, Encik Rosidi Salleh, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Puan Siti Salwa atas perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat serta relevan dengan keperluan pembangunan atlet masa kini.
Menurut beliau, input berkaitan nutrisi makanan amat penting dalam memastikan pemain bukan sahaja cemerlang dari aspek teknikal, malah berada pada tahap fizikal dan kesihatan yang optimum.
Program ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan menjadi platform penting dalam usaha berterusan ke arah kecemerlangan sukan negara melalui pendekatan pembangunan atlet yang menyeluruh dan berteraskan ilmu.