KEMENANGAN USM FC BUKTI KESUNGGUHAN SUKAN USM! - SEMANGAT TERUS MENYALA

Walaupun USM FC sedang melalui minggu paling sibuk dalam kalendar sukan universiti — dengan komitmen serentak dalam Liga A2 AFL, Liga Divisyen 1 Pulau Pinang, serta persediaan untuk Istiadat Konvokesyen USM 2025 yang berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2025 — skuad ini tetap membuktikan bahawa fokus dan disiplin adalah identiti sebenar Warga Hebat USM.
Di sebalik tekanan, jadual padat dan tugasan rasmi universiti, USM FC turun dengan semangat luar biasa dan berjaya menutup malam ini dengan kemenangan meyakinkan 2–0 ke atas Tanjung Bungah Rangers. Kemenangan ini bukan sekadar angka di papan skor, tetapi simbol kekuatan mental, ketahanan fizikal, dan jiwa perjuangan yang tidak pernah padam.

Apa yang lebih membanggakan, kemenangan ini disempurnakan di sebuah gelanggang keramat yang kini kembali bersinar — Stadium Olahraga USM, yang baru sahaja menikmati naiktaraf lampu limpah hasil usaha padu Pengurusan Tertinggi USM, Pusat Sukan dan Rekreasi USM, serta sokongan teknikal Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti. Dengan pencahayaan baharu yang lebih moden, terang dan berkualiti tinggi, Stadium USM kini kembali ‘hidup’, menjadi medan yang lebih selamat, profesional, dan bermaruah untuk atlet serta komuniti USM.
Naiktaraf ini bukan sekadar projek fizikal — ia adalah pelaburan yang membawa mesej jelas:
USM komited memartabatkan sukan sebagai tunjang pembangunan pelajar, kecemerlangan universiti dan kebanggaan semua warganya.
"USM sentiasa dibina atas semangat juang luar biasa, disiplin dan maruah. Dalam bola sepak, seperti juga dalam kehidupan, tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Setiap peluh yang gugur, setiap langkah yang awak ambil di padang, adalah pelaburan untuk masa depan."
Sebagai bekas pemain dan juga pendidik, saya percaya satu perkara — jiwa USM ini tidak pernah kalah, selagi kita bersatu, bekerja keras, dan bermain dengan hati.
Terus mara, terus melangkah, dan terus buktikan bahawa USM bukan sekadar sebuah universiti, tetapi sebuah keluarga yang sentiasa bangkit lebih kuat daripada sebelumnya.- Dato’ Ahmad Zakaria,Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan & Legenda Bolasepak USM era 70an turut sama menyaksikan perlawanan semalam sebagai tanda sokongan buat pasukan.
Inilah roh sukan sebenar.
Inilah jiwa USM.