KARATE USM SUMBANG GANGSA, KEEVAN RAJ TAMPIL KENTAL DI PENTAS SUKIPT 2026

KUALA LUMPUR, 5 September 2026 – Atlet Karate Universiti Sains Malaysia, Keevan Raj A/L Kalidhass dari Tahun 2 Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menghadiahkan pingat gangsa dalam saingan Karate pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.
Keevan Raj membuka langkah penuh bergaya apabila menundukkan wakil Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan kemenangan 8-0 pada pusingan pertama, sebelum meneruskan cabaran pada pusingan kedua menentang Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyaksikan beliau tewas 1-3.
Namun, kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat atlet muda USM itu apabila beliau kembali bangkit menerusi pusingan repechage menentang wakil Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang terpaksa menarik diri akibat kecederaan, sekali gus membuka laluan buat Keevan Raj untuk meneruskan pemburuan pingat.
Momentum kebangkitan itu diteruskan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa apabila Keevan Raj berdepan wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam aksi sengit yang menyaksikan beliau mencatat kemenangan 8-7, sekali gus mengesahkan pingat gangsa buat kontinjen USM.
Kejayaan tersebut membuktikan bahawa jatuh bukan noktah buat Keevan Raj, sebaliknya semangat untuk bangkit dan terus berjuang menjadi kunci sehingga beliau berjaya menamatkan saingan dengan sebuah pingat gangsa yang cukup bermakna buat USM di pentas SUKIPT 2026.
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA