Skip to main content

KAMPUS INDUK RAJA LIBAS SEPAKTAKRAW USM – Takhta Sepaktakraw SUKJAP USM 4 Penjuru Milik Kampus Induk!

May be an image of 12 people and text that says "AZMAN HASHIM AZMANHASHIMUSMSPORTSARENA USM SPORTS ARENA VENTUIES RARNTUR"

Aksi sengit, servis berbisa, dan ketangkasan luar biasa mewarnai pentas Sepaktakraw SUKJAP USM 4 Penjuru 2025, yang menyaksikan Kampus Induk A mengungguli kejohanan selepas menundukkan pencabar utama, Kampus Kesihatan A, di pentas akhir.

Kejayaan ini cukup manis buat Kampus Induk A yang dibarisi oleh Shahril Abdul Sukor, bekas bintang skuad Negara di temasya SEA Games 2009. Aura dan pengalaman beliau nyata menjadi inspirasi buat pasukan, memacu rentak permainan bertenaga dan penuh keyakinan.

Perlawanan akhir benar-benar menghiburkan penonton di Kompleks Sukan Azman Hashim USM. Pertarungan berbalas servis antara Ahmad Idham serta Amirul Amir dari Kampus Kesihatan A berlangsung penuh dramatik. Kualiti servis padu, libasan hebat, serta kawalan bola yang kemas membuatkan setiap mata dikejar dengan penuh debaran.

Kampus Induk yang dibarisi trio 'lama' USM Shahril Abdul Sukor, Mahadzer Mokhtar, Rahmat Che Din kembali mewarnai saingan pada pusingan awal perlawanan dan gandingan baru bersama Shahnizam Ab Rahim dan Ahmad Idham menjadikan Raja Libas kekal milik Kampus Induk USM.

Sementara itu, tempat ketiga dikongsi oleh Kampus Kesihatan B dan Kampus Kejuruteraan A yang turut mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang kejohanan.

Kejohanan kali ini bukan sekadar medan memburu kejuaraan, malah menjadi pentas menyatukan warga USM dari pelbagai kampus dalam semangat kesukanan sebenar.

Dengan sorakan padu penonton dan aksi bertaraf profesional, Sepaktakraw SUKJAP 4 Penjuru 2025 membuktikan bahawa sukan ini terus menjadi nadi kekuatan dan kebanggaan universiti.

📌 Keputusan Rasmi:

🥇 Juara – Kampus Induk A

🥈 Naib Juara – Kampus Kesihatan A

🥉 Ketiga Bersama – Kampus Kesihatan B & Kampus Kejuruteraan A