IMT-GT KE-24 : PLATFORM TERBAIK SERLAH BAKAT BELIA, ERATKAN PERPADUAN DAN PERKONGSIAN STRATEGIK SERANTAU

SONGKLA, THAILAND, 29 Oktober 2025 :- Kerjasama yang dipertingkat dalam penganjuran IMT-GT dalah saluran yang sangat baik untuk membina perkongsian yang lebih kukuh dan mampan melalui kerjasama, perpaduan, dan penerimaan perbezaan, sekali gus menghasilkan strategi yang lebih berkesan untuk mencapai matlamat pembangunan serantau.

Malam perasmian Karnival Varsiti IMT-GT Ke-24 yang berlangsung di PREM Auditorium Hall, Thaksin University Kampus Songkla semalam dengan tema ‘Driving Glocal Citizen’ yang merangkumi aktiviti sukan, seminar dan kebudayaan ini telah berjaya menghimpunkan hampir 1000 pelajar dari 12 universiti dalam menyediakan platfom yang baik kepada pelajar untuk menyerlahkan bakat serta dapat menimba pengalaman berharga.
Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Presiden Majlis Varsiti IMT-GT merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia dalam ucapannya berkata penyatuan tiga buah negara yang mempunyai perbezaan tradisi budaya, bahasa, pemikiran realiti dan holistik melalui tiga kandungan utamanya dapat membentuk kerjasama strategik yang boleh direalisasikan bersama.
Prof. Madya Dr. Natthaphong Jitnirat, Presiden Thaksin University dalam ucapannya turut menyatakan bahawa program ini melambangkan ikatan persahabatan, persefahaman, dan kerjasama mampan antara Indonesia, Malaysia, dan Thailand, dengan fokus utama dalam melahirkan belia berjiwa warga global.
“Melalui penganjuran ini dengan tema "Memacu Warga Global", ianya adalah selaras dengan visi Universiti Inovasi Sosial dalam membentuk belia yang mampu berfikir secara global tetapi bertindak secara tempatan bagi merangsang pertumbuhan sosial yang mampan”, ujarnya.
Malam pembukaan Karnival Varsiti IMT-GT Ke-24 ini menyaksikan persembahan kebudayaan pelajar dari 12 buah universiti di wilayah segitiga Indonesia - Malaysia – Thailand yang terdiri dari USM, UUM, UniMAP, UiTM Arau (Malaysia), Walailak University, Prince Songkla University, Rajamangala University of Technology Srivijaya, Thaksin University (Thailand), Universitas Syiah Kuala, Universitas Negeri Medan, Universitas Sumatera Utara dan Universitas Negeri Padang (Indonesia).
Turut hadir sama semasa perasmian berlangsung ialah Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Hairul Anuar Hashim, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Encik Hafiz Assad Zakaria selaku ketua kontingen USM, Encik Shukeri A Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Ahli Majlis IMT-GT 2025, pegawai-pegawai utama universiti dan sekretariat IMT-GT 2025.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA