Skip to main content

IMT-GT KE-24 : PASUKAN BADMINTON USM NAIB JOHAN DI PENTAS FINAL, TUNJUKKAN AKSI BERTENAGA MENENTANG USK

SONGKHLA, THAILAND, 1 November 2025 :- Pasukan badminton USM yang dipimpin oleh Encik Mohd Aslam Abdullah, staf dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan menunjukkan persembahan bertenaga dan bersaing sengit sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 di pentas akhir kepada USK.

Berlangsung kelmarin di Gelanggang Badminton, Thaksin University, perseorangan lelaki USM, Tan Shau Heng, pelajar Tahun 4 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dipaksa bermain sehingga rubber set untuk memimpin pasukan USM kemenangan 1-0.

Kehebatan pemain perseorangan wanita Universitas Syiah Kuala (USK) berjaya menangguhkan keraian awal USM untuk memenangi pingat emas apabila berjaya menundukkan perseorangan wanita USM, Tan Yern Lynn, pelajar tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Farmasi.

Faktor kepenatan jelas menjadi punca utama kepada kekalahan Tan Yern Lynn apabila perlawanan akhir dijalankan sejurus perlawanan separuh akhir tamat dan sekaligus mengikat kedudukan kepada 1-1.

Kategori Beregu Campuran USM yg diwakili oleh Ho Wei Yuan, pelajar tahun 4 dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Ummu Iffah Asyimie Mohd Hedzree, pelajar tahun 2 dari Pusat Pengajian Pengurusan menjadi penentu kepada penentuan pingat emas Badminton IMT-GT Ke-24.

Kedua-dua beregu menunjukkan permainan yang sengit sebelum USM terpaksa akur kepada keampuhan dan kekentalan beregu USK yang lebih berpengalaman bermain di pelbagai peringkat kejohanan.

Kemenangan kategori Beregu Campuran memberikan pingat Emas USK dan USM terpaksa akur dengan pingat perak.

Turut hadir memberi sokongan semasa pertandingan berlangsung adalah Encik Hafiz Assad Zakaria selaku ketua kontingen USM, Encik Mohd Hafezi Mat Zain, Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan, Pembudayaan dan Kecemerlangan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi USM dan jurulatih-jurulatih pasukan lain.

Seluruh warga warga kampus USM mengucapkan tahniah dan syabas kepada para pemenang. Semoga dengan penglibatan anda dalam program-program antarabangsa berimpak tinggi dapat dijadikan batu loncatan dalam usaha meningkatkan keyakinan diri untuk menjadi yang terbaik berpaksikan agenda H.E.B.A.T. USM.

Teks : Mohd Rodzuan Yahya,

Sektor Penyediaan Atlet,

Pusat Sukan dan Rekreasi USM

Foto dan suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA