EMPAT GOL USM FC TAKLUK LIGA BOLA SEPAK DIVISYEN SATU PULAU PINANG!

Stadium Olahraga USM, 10 Februari 2026 – USM FC mencipta sejarah manis apabila dinobatkan sebagai Juara Liga Divisyen 1 Pulau Pinang selepas mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Bukit Gelugor SC dalam perlawanan penentuan.

Dalam aksi yang penuh disiplin dan semangat berpasukan itu, jaringan USM FC disumbangkan oleh Aidil Daniel, Daniel Irfan, serta Aminuddin yang tampil cemerlang dengan dua gol, sekali gus mengesahkan dominasi pasukan sepanjang perlawanan.
Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan di atas padang, malah mencerminkan hasil perancangan rapi, kesungguhan latihan dan komitmen berterusan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan pasukan USM FC.
Jurulatih USM FC, Azizul Ahmad Sabri, menyifatkan kejayaan menjuarai liga sebagai hasil kerja berpasukan yang mantap dan sokongan padu daripada pelbagai pihak. Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pengurusan, kejurulatihan, pemain serta seluruh warga kampus Universiti Sains Malaysia (USM) yang sentiasa berdiri di belakang pasukan.
KEBERSAMAAN DAN KESATUAN HEBAT WARGA KAMPUS USM
“Ini adalah kejayaan milik bersama. Komitmen pemain di atas padang, sokongan pengurusan dan dorongan warga kampus menjadi kekuatan utama USM FC sehingga bergelar juara,” ujar beliau.
Kejayaan USM FC menjuarai Liga Divisyen 1 Pulau Pinang sekali lagi membuktikan bahawa USM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah terus cemerlang dalam arena sukan, selari dengan aspirasi universiti melahirkan atlet berdaya saing dan berintegriti tinggi.